PUTRAJAYA: Semangat kemerdekaan perlu terus disemai dalam jiwa serta pemikiran setiap rakyat Malaysia dengan semua kaum bersatu membina negara, mempertahankan hak dan menegakkan keadilan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kemerdekaan bukan sekadar membabitkan sistem dan negara, sebaliknya yang lebih penting ialah memastikan setiap rakyat memiliki jiwa benar-benar merdeka.
“Ini hambatan dan cabaran paling besar. Sebab itu, untuk membina semula dari robohan, menanam di jiwa dan pemikiran kita semangat kemerdekaan. Maka, kita harus bersatu.
“Siapa yang harus bersatu? Bapa-bapa kita sebut bukan bersatu kaum atau daerah atau wilayah, tetapi bersatu setiap dan segenap baka. Maknanya, segenap warga.
“Orang Melayu tentunya beliau sebut sebagai induk dan Bumiputera, tetapi semua suku kaum harus terus bersatu memainkan peranan membela hak keadilan pusaka,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; barisan jemaah menteri; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata, semangat itu perlu diterjemahkan dalam usaha membina sebuah negara MADANI dengan mengambil iktibar daripada keberanian tokoh pejuang terdahulu seperti Hang Tuah, Tok Janggut, Mat Kilau, Rosli Dhobi, Rentap, Mat Salleh dan Antanom.
“Pemimpin-pemimpin kita menghadapi liku-liku dengan berani serta mengajak seluruh rakyat bersatu, bermuafakat, menjaga amanah dan janji perisytiharan kemerdekaan serta membina semula selepas robohan Kota Melaka,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia wajar bersyukur kerana walaupun berdepan pelbagai permasalahan, pasang surut dan cabaran, negara ini masih kekal sebagai antara negara yang aman, disatukan kekuatan kemanusiaan merentasi perbezaan kaum, agama serta latar belakang.
Anwar berkata, Malaysia juga telah membuktikan kepada dunia bahawa kekuatan perpaduan mampu menjamin kelangsungan negara, khususnya selepas kemerdekaan pada 1957 apabila terdapat pihak yang meragui kemampuan Tanah Melayu untuk bertahan serta menghimpunkan kekuatan semua kaum.
“Ketika merdeka 1957, kalau kita teliti liputan media asing, mereka tidak percaya Malaya atau Tanah Melayu ketika itu mampu bertahan dan merangkul kekuatan semua kaum, kerana pengalaman di banyak negara-negara Asia, Afrika dan di Amerika berkecai.
“Namun, kita buktikan kita bertahan. Bukan tidak ada musim tragis dan tragedi, tetapi kita bertahan. Malah dengan wawasan besar pemimpin, negarawan ketika itu bersama tokoh-tokoh agung besar dari Malaysia dari satu, sekarang bergabung tiga kekuatan, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak,” katanya. -BH Online
