GOMBAK: Dasar yang jelas dan komprehensif berkaitan isu pelarian perlu diwujudkan bagi memastikan aspek keselamatan negara dapat diseimbangkan dengan pertimbangan kemanusiaan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata dasar berkenaan penting bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadap isu pelarian dibuat secara drastik atau mengikut emosi, terutama susulan peningkatan jumlah pelarian di negara ini yang turut memberikan tekanan tertentu kepada masyarakat dan kerajaan.
“Gesaan yang ada sekarang ini kena kita teliti sebab kita bukan nak melindungi sahaja, kita pun terbeban sebab jumlah yang tinggi. Tapi kita kena ada dasar yang jelas dan ada titik keseimbangan dengan aspek kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) Peringkat Zon Tengah Siri 2/2026 di sini hari ini.
Amirudin berkata demikian ketika mengulas isu pelarian Myanmar yang kebelakangan ini kerap tular dalam media sosial, khususnya membabitkan kawasan sekitar Selayang.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa sebahagian lokasi yang dipaparkan dalam media sosial berkenaan berada di bawah pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan bukan dalam kawasan pentadbiran Selangor.
Amirudin berkata sebarang tindakan yang dibuat semata-mata berdasarkan emosi tanpa berpandukan dasar yang seimbang boleh menjejaskan imej Malaysia pada mata dunia.
“Ataupun kerajaan nak tutup pintu semua? Tak boleh pelarian seluruh dunia, termasuk pelarian Syria, pelarian Gaza pun tak boleh? Jadi kita tak boleh kalau ikut perasaan…,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata pihak berkuasa tetap tegas mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang dilakukan pelarian atau warga asing, termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen dan menduduki kediaman secara tidak sah.
“Yang terlibat jenayah sudah pasti kita ambil tindakan. Mereka tidak boleh terlibat dengan aktiviti-aktiviti memiliki perniagaan, itu memang jelas dan kita akan ambil tindakan…,” katanya. – BERNAMA
