Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BATU PAHAT: Agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus berhubung rapat dengan pekebun kecil bagi membantu mereka menghadapi cuaca panas yang berkemungkinan menjejaskan pengeluaran hasil komoditi.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kementerian sentiasa bekerjasama dengan pekebun kecil bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi keadaan cuaca panas serta fenomena El Nino.

“Kita percaya pekebun kecil juga sudah maklum mengenai perkara ini dan sentiasa berhubung rapat dengan agensi kami.

“El Nino sememangnya boleh memberikan kesan kepada tanaman komoditi jika cuaca panas dan kekurangan hujan berpanjangan.

“Keutamaan kita ialah membantu pekebun kecil membuat persediaan dan mengurangkan kesan terhadap tanaman serta pendapatan mereka.

“Terutamanya melalui agensi kami seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), banyak bekerjasama dengan pekebun kecil dalam menasihatkan mereka supaya sentiasa bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival dan Peluncuran Kampung Angkat MADANI KPK 2026 di Kampung Parit Warijo, Sri Medan, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan Kampung Angkat MADANI, Dr Noraini berkata sebanyak RM590,000 diperuntukkan bagi melaksanakan projek fizikal dan program pembangunan masyarakat di Kampung Angkat MADANI berkenaan.

Katanya, antara kemudahan yang dinaik taraf ialah Surau Kampung Parit Basri Laut, Surau Kampung Parit Warijo dan Dewan Serbaguna Kampung Parit Warijo.

“Kerja penambahbaikan turut membabitkan balai raya, pemasangan pintu dan penghawa dingin, penyediaan kabinet stor, kerja premix di halaman belakang serta baik pulih bumbung dan gelanggang terbuka,” katanya. -BH Online