Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Kerajaan Pahang masih menjalankan siasatan berhubung kegiatan sindiket penipuan urusan permohonan dan penjualan tanah membabitkan tanah milik kerajaan negeri di Bentong seperti diiklankan menerusi platform dalam talian.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata siasatan itu turut meliputi modus operandi sindiket termasuk mengenal pasti sasaran yang bukan sahaja terdiri daripada rakyat Pahang, malah individu dari luar negeri itu.

Beliau berkata, tindakan segera akan diambil bagi memastikan sindiket berkenaan dihalang daripada meneruskan kegiatan penipuan.

“Nasihat kepada orang ramai ialah berurusan dengan agensi berkaitan jika ada cadangan pembangunan dan membeli tanah. Berurusan dengan Pejabat Tanah.

“Jangan berurusan dengan pihak ketiga untuk mengelak menjadi mangsa sindiket,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 Pahang di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sindiket dipercayai menawarkan penjualan tanah kerajaan negeri di Bentong dengan memperdaya mangsa menerusi iklan di platform dalam talian.

Baru-baru ini, kerajaan Pahang mengesan kegiatan sindiket penipuan urusan permohonan tanah di daerah Bentong yang membabitkan tanah milik kerajaan negeri.

Sindiket berkenaan dipercayai menawarkan urusan pemberimilikan tanah kepada orang ramai dengan meminta mangsa membuat bayaran serta menandatangani dokumen sebelum proses pemberimilikan dilakukan.

Susulan itu, Wan Rosdy menegaskan kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen atau syarikat untuk menjalankan urusan pemberimilikan tanah kerajaan negeri di luar prosedur yang ditetapkan undang-undang. -BH Online