Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KEFAHAMAN mengenai amalan menabung perlu bermula di peringkat awal terutamanya di peringkat sekolah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ia penting bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menyimpan pada masa hadapan.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mengadakan perbincangan bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk memperluaskan kempen dalam memberi pencerahan berhubung literasi saham di peringkat sekolah.

Menurutnya, tahap pencerahan maklumat dan kefahaman berhubung literasi saham itu bukan sahaja berlaku di Malaysia sebaliknya turut dialami negara-negara lain.

“Di sini, kita lihat kefahaman tentang keupayaan menyimpan atau menabung agak lemah dalam negara kita.

“Baru-baru ini saya baca satu laporan di London juga menunjukkan bahawa tahap pencerahan maklumat dan kefahaman di sana pun rendah.

“Orang simpan atau menabung ikut sentimen dan propaganda media yang tidak melihat kekuatan syarikat itu.

“Jadi rakan-rakan PNB, pencerahan itu perlu dimulakan sejak awal kerana keyakinan integriti syarikat dan keupayaan mereka mengurus dengan baik rekod syarikat itu sekian lama dapat menarik orang untuk menabung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 di Setia Fontaines Bertam, semalam.

Perdana Menteri berkata, pencerahan penting supaya individu yang ingin menabung mengetahui maklumat yang cukup.

“Ini kerana kita tidak boleh membuat andaian orang menyimpan dan menabung atau orang yang terlibat dalam saham dengan sendirinya mempunyai maklumat yang cukup.

“Saya beri jaminan kepada Pengerusi PNB, kita boleh bincang dengan KPM supaya kempen pencerahan dapat diperluaskan ke sekolah dan mungkin tenaga PNB boleh melatih guru.

“Kemudian guru ini dapat memberi kesedaran tambahan kepada pelajar untuk memahami apa itu literasi saham,” katanya. -Media Perpaduan