SERDANG: Pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan susulan keadaan jerebu dan cuaca panas yang melanda ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu penting bagi memelihara kesihatan, memandangkan jumlah kehadiran dijangka meningkat sempena musim cuti persekolahan dan hujung minggu.
“Hari ini dengan bermulanya cuti, kami menjangka kehadiran begitu ramai. Saya mengharapkan pengunjung kalau boleh memakai pelitup muka kerana keadaan jerebu dan cuaca supaya dapat meningkatkan penjagaan terhadap kesihatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak.
Mohamad ketika mengulas mengenai jumlah kehadiran pengunjung berkata sebanyak 140,000 orang direkodkan pada hari pertama MAHA 2026 semalam.
Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai memeriahkan Sambutan Ambang Merdeka di MAEPS pada 11.30 malam esok yang akan diserikan dengan pertunjukan dron dan bunga api.
Bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept di MAEPS dengan menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer serta menyasarkan kehadiran lebih empat juta pengunjung pada edisi kali ini.– BERNAMA
