KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatat satu lagi pencapaian penting dalam komitmen untuk membangunkan infrastruktur tenaga yang bersedia masa hadapan, menerusi permulaan pembangunan talian penghantaran National Grid Backbone 500kV yang baharu – sebuah projek infrastruktur strategik yang akan memperkukuh keterjaminan tenaga negara, mempercepat peralihan tenaga dan memenuhi keperluan bekalan elektrik negara pada masa hadapan.
Perasmian tapak projek Pencawang Masuk Utama (PMU) 500kV Kampung Awah di Maran, Pahang, hari ini menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan National Grid Backbone yang akan menghubungkan lokasi strategik merentasi pantai timur Semenanjung Malaysia.
National Grid Backbone ini direka bagi meningkatkan daya tahan, kebolehpercayaan, fleksibiliti dan kapasiti penghantaran Grid Nasional, di samping memacu pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Apabila siap pada 2030, National Grid Backbone ini akan menjadi talian sistem penghantaran 500kV yang terpanjang pernah dibangunkan di Malaysia, dengan panjang keseluruhan kira-kira 500km.
Majlis perasmian tapak projek PMU Kampung Awah telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Hadir sama Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad.
PMU Kampung Awah akan berperanan sebagai antara nod penghantaran strategik bagi National Grid Backbone, dengan meningkatkan kapasiti penghantaran, memperkukuh pemindahan tenaga antara wilayah dan mempertingkat daya tahan dan kebolehpercayaan rankaian elektrik Semenanjung Malaysia.
Dengan lokasi strategik di sepanjang koridor penghantaran Paka-Kampung Awah-Bahau South-Kulai East, PMU Kampung Awah akan memperkukuh kesalinghubungan grid serta menyediakan kapasiti tambahan bagi membolehkan integrasi sumber penjanaan sedia ada dan akan datang.
Projek ini juga dijangka menyokong pertumbuhan aktiviti perindustrian dan komersial, memudah cara pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan peluang kepada rantaian bekalan tempatan, termasuk dalam bidang kejuruteraan, pembinaan, operasi dan perkhidmatan berkaitan.
Memperkukuh Grid Nasional National
Grid Backbone 500kV akan menyediakan kapasiti penghantaran tenaga pukal berkapasiti tinggi merentasi Semenanjung Malaysia, meningkatkan kesalinghubungan serta kecekapan dan daya tahan rangkaian elektrik.
Pembangunan infrastruktur ini akan memperkukuh Grid Nasional merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan keseluruhan grid serta menyokong pelaksanaan NETR dengan jayanya.
Pembangunan ini adalah sebahagian daripada komitmen jangka panjang TNB untuk memodenkan grid elektrik Malaysia. Dari 2025 hingga 2027, TNB melabur RM43 bilion dalam pembangunan dan pemodenan grid bagi memperkukuh kebolehpercayaan, daya tahan dan kapasiti Grid Nasional.
Justeru, National Grid Backbone akan menyediakan kapasiti penghantaran dan fleksibiliti grid yang diperlukan bagi memenuhi permintaan bekalan elektrik yang terus berkembang, di samping membolehkan penembusan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi, khususnya di Wilayah Timur.
Ia juga akan meningkatkan kesiapsiagaan grid bagi memenuhi keperluan industri berteraskan kecerdasan buatan (AI), pusat data, infrastruktur digital dan pelaburan hijau bernilai tinggi yang semakin berkembang, sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia dan meletakkan negara sebagai hab tenaga serantau yang terkemuka.
Merealisasikan masa hadapan tenaga yang saling terhubung dan mampan
Wan Rosdy berkata, pembangunan PMU Kampung Awah meletakkan Pahang pada kedudukan strategik dalam Grid Nasional dan akan menjadi pemangkin untuk menarik pelaburan hijau serta berteknologi tinggi ke negeri ini, disokong oleh kapasiti penghantaran yang lebih besar, kebolehpercayaan grid serta kesiapsiagaan untuk memenuhi permintaan tenaga pada masa hadapan.
“Sebagai salah satu nod penghantaran strategik bagi National Grid Backbone 500kV, projek ini akan memperkukuh kesalinghubungan Pahang dengan Grid Nasional dan meningkatkan kesiapsiagaan negeri untuk menyokong industri baharu, pelaburan bernilai tinggi dan pembangunan tenaga boleh baharu yang sedang berkembang.
Infrastruktur ini juga akan mewujudkan peluang kepada perniagaan dan komuniti tempatan di sepanjang rantaian bekalan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi Pahang serta mengukuhkan kedudukan negeri sebagai penyumbang penting kepada peralihan tenaga Malaysia,” katanya.
Shamsul berkata, pembangunan National Grid Backbone 500kV mencerminkan komitmen TNB untuk melabur dalam infrastruktur kritikal yang memperkukuh keterjaminan tenaga Malaysia, di samping membolehkan negara meneruskan agenda peralihan tenaga.
“Grid yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan adalah asas penting bagi Malaysia untuk memenuhi pertumbuhan permintaan elektrik, mengintegrasikan lebih banyak tenaga boleh baharu serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
National Grid Backbone 500kV akan memperkukuh tulang belakang sistem penghantaran Semenanjung Malaysia, dengan menyediakan kapasiti dan fleksibiliti yang diperlukan bagi memenuhi keperluan tenaga negara yang terus berkembang, di samping memacu pelaksanaan NETR,” katanya.
Permulaan pembangunan National Grid Backbone 500kV ini adalah satu langkah penting dalam memperkukuh asas sistem tenaga masa hadapan Malaysia, memastikan Grid Nasional bersedia memenuhi keperluan elektrik negara yang terus berkembang, membolehkan peralihan tenaga serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi mampan untuk tahun-tahun akan datang. -BH Online
