KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti pelbagai cadangan dan inisiatif yang boleh membantu merancakkan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam Belanjawan 2027.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata cadangan berkenaan diterima daripada pelbagai agensi dan kementerian serta melalui sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“PMKS salah satu tulang belakang ekonomi negara. Dari segi penekanan kerajaan, kita akan memberi perhatian yang lebih kepada PMKS dalam Belanjawan 2027.
“Kita telah menerima banyak cadangan dan yang penting sekarang perlu menilai semua cadangan itu berdasarkan apa yang boleh kita laksanakan dalam kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 Bank Simpanan Nasional (BSN), di sini, semalam.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober depan.
Amir Hamzah berkata, Belanjawan 2027 juga akan memberi fokus kepada 10 perkara teras antaranya menangani isu kos sara hidup, menyediakan pekerjaan bermakna serta merancakkan ekonomi Malaysia supaya dapat mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga ingin memastikan semua lapisan masyarakat terutama PMKS menerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara.
“Pada suku kedua 2026, kita dapat lihat pertumbuhan Keluaran Dalam Kasar Negeri (KDNK) rancak sekali pada 6.0 peratus.
“Oleh itu, kita ingin memastikan limpahan yang datang daripada perkembangan KDNK negara turut sampai ke semua pelosok negara termasuk PMKS,” katanya.
Sementara itu, sempena majlis Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69, BSN turut mengadakan Karnival BSN Mikro MADANI.
Karnival itu menghimpunkan usahawan mikro BSN daripada pelbagai latar belakang termasuk sebahagian daripada 69 usahawan mikro yang diketengahkan sepanjang kempen berkenaan bagi meraikan usaha dan sumbangan mereka dalam menggerakkan ekonomi serta memperkukuh komuniti setempat.– BERNAMA
