Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

BUKIT MERTAJAM: Pengumuman peruntukan elaun bagi pelajar Tingkatan Enam adalah berita paling dinanti golongan sasar sejak sekian lama.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata cadangan elaun berkenaan dikemukakan kepada pihaknya dan diperjuangkan sejak beliau menerajui Kementerian Pendidikan (KPM).

“Saya rakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pengumuman berkaitan dengan elaun Tingkatan Enam.

“Ini berita yang ditunggu-tunggu. Perjuangan untuk mendapatkan elaun ini kami kemukakan sejak awal saya menjadi Menteri Pendidikan.

“Alhamdulillah, untuk Belanjawan 2027, ia akan menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan dan elaun berkaitan pelajar Tingkatan Enam pada pembentangan Belanjawan 2027, Oktober ini.

Fadhlina turut menerima 12 resolusi daripada Kongres Prauniversiti MADANI peringkat kebangsaan, termasuk cadangan berkaitan pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam.

“Antara yang diangkat oleh perwakilan Tingkatan Enam adalah berkenaan elaun untuk anak-anak Tingkatan Enam.

“Saya terima sepenuhnya anak-anak (resolusi itu) yang kita akan tambah baik resolusi itu dan kita sedang mencari jalan bagaimana kita boleh memastikan 12 resolusi itu akan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Fadhlina berkata, pemberian elaun itu adalah antara reformasi penting dalam pendidikan, khususnya bagi menjaga kebajikan dan memartabatkan pelajar prauniversiti KPM.

“Ini antara reformasi penting dalam pendidikan, khususnya untuk menjaga kebajikan dan memartabatkan pelajar prauniversiti KPM,”katanya. -BH Online