Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PEKAN: Kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Seri Aishah Almarhum Sultan Ahmad Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja di sini hari ini.

Istiadat pemakaman Tengku Datuk Seri Aishah yang mangkat pada usia 69 tahun disempurnakan kira-kira 3.30 petang. 

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menghadiri istiadat pemakaman yang berlangsung dengan penuh penghormatan itu. 

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berangkat. 

Hadir sama bagi memberi penghormatan terakhir Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selain barisan kepimpinan kerajaan negeri. 

Terdahulu jenazah Almarhumah dimandikan dan disolatkan di Masjid Khalid bin Al-Walid, Jalan padang Tembak, Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang dari Pangkalan Udara,Subang.

Sejurus tiba di Pangkalan Udara Kuantan, jenazah kemudian dibawa ke Masjid Sultan Ahmad 1 di sini dan tiba pada 1.25 tengah hari untuk disolatkan sekali lagi selepas solat Zohor. 

Selepas solat, jenazah dibawa ke makam berkenaan yang terletak di sebelah masjid berkenaan untuk dimakamkan dengan penuh istiadat. 

Mufti Pahang Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim menyempurnakan bacaan Yasin diikuti tahlil dan doa selamat. 

Sultan Pahang dan Tunku Azizah berkenan menyiram air serta menabur bunga ke atas makam Almarhumah. 

Dilaporkan Tengku Datuk Seri Aishah mangkat pada 9.25 malam semalam di sebuah hospital di ibu negara. — BERNAMA