Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MENTERI Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, kehadiran polis yang ramai semasa tempoh berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Pelangai adalah untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata tiada sebab untuk dirisaukan PN jika mereka tidak menyentuh sensitiviti yang boleh memecahbelahkan perpaduan.

“Asal sahaja pihak terlibat mengambil bahagian dalam pilihan raya tak membangkitkan sentimen sensitif, tak mengapi-apikan semangat dan boleh menjejaskan perpaduan dan ketenteraman hidup rakyat, tak ada sebab untuk risau polis berada di situ.

“Tidak perlu risau jika mereka adalah warganegara yang patuh,” katanya pada sidang media di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengenai kehadiran ‘luar biasa’ anggota polis pada kempen Perikatan Nasional (PN) di Pelangai.

Sebelum ini, Takiyuddin menyatakan rasa kurang senang terhadap kehadiran ‘luar biasa’ anggota polis pada setiap program dijalankan PN.

Dakwanya, ia menimbulkan keresahan orang ramai dan tidak bagus untuk demokrasi.

Menurutnya, ada anggota polis termasuk anggota Cawangan Khas (SB) yang memantau pergerakan calon PN, Kasim Samat.

Malah Taqiyuddin berkata, lawatan dari rumah ke rumah juga menimbulkan rasa tidak selesa dan ketakutan kepada orang ramai.

Pada masa sama, Saifuddin memberi jaminan pihak polis bersikap profesional dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan kehadiran mereka.

Jelasnya, tiada laporan dibuat membabitkan parti politik dihalang daripada berinteraksi dengan rakyat.

“Cuma yang dilaporkan ialah polis hadir untuk menjaga ketenteraman awam, yang itu pelik sikit,” katanya. -Media Perpaduan