Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR GAJAH: Pelaksanaan Kampung Digital di Melaka akan diperluaskan merangkumi semua premis termasuk kawasan perumahan, sekolah dan kawasan industri di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ia sebagai usaha untuk memperkukuh transformasi digital bagi menyelaras kaedah pelaksanaan dan penggunaan program digital itu mengikut keperluan serta peranan agensi berkaitan.

Katanya, pelaksanaan Kampung Digital akan berpaksikan kepada keperluan rakyat dalam urusan bersama kerajaan membabitkan agensi seperti Jabatan Agama Islam (JAIM), pejabat tanah, pejabat daerah, pihak berkuasa dan tempatan (PBT) serta sektor kesihatan.

“Kita bengkelkan ini berpaksikan maklumat daripada perubahan kampung konvensional kepada Kampung Digital.

“Ia dapat membantu kaedah pengurusan masyarakat yang jauh lebih terurus, terancang dan terarah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Bengkel Penjajaran Hala Tuju Kampung Digital di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Saiful Hazwa Kipli; dan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Fairul Roslan.

Ab Rauf berkata, hasil bengkel pertama itu akan dirumuskan sebelum bengkel kedua yang akan diadakan bersama jabatan berkaitan bagi memastikan pelaksanaan Kampung Digital dilaksanakan secara menyeluruh.

Katanya, pelaksanaan Kampung Digital Melaka 2.0 turut mempunyai sasaran jelas dengan garis masa tersusun bagi memastikan setiap fasa membawa negeri itu lebih hampir kepada matlamat transformasi digital.

Menjelang 2030, katanya, Melaka meletak sasaran lebih 95 peratus isi rumah didaftarkan selain penyelarasan sistem alamat yang merangkumi seluruh bangunan dan premis di negeri ini.

“Menjelang 2035, kita mahu melangkah lebih jauh dengan menyasarkan setiap premis di Melaka mempunyai satu alamat digital yang unik, sah dan berautoriti,” katanya.

Ab Rauf berkata, asas pelaksanaan program itu bergantung kepada maklumat daripada perangkaan yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mempunyai data lengkap.-BH Online