SERDANG: Umat Islam perlu berusaha sentiasa mengangkat Islam sebagai contoh kepada semua termasuk golongan bukan Islam, dalam pelbagai aspek kehidupan merangkumi tadbir urus dan ilmu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu menjadi cabaran kepada umat Islam kini ketika kesedaran mengenai nilai Islam semakin meningkat di seluruh dunia.
“Cabaran bagi ummah sekarang ialah bagaimana kita boleh menjadikan Islam sebagai contoh yang mampu diteladani umat dan manusia keseluruhannya.
“Jika yang mentadbir, mentadbir dengan baik; jika profesor, mengajar dengan baik; mahasiswa, belajar dengan tekun… bererti ada usaha penambahbaikan.
“Mesti ada kesediaan untuk membawa perubahan dan mesej yang jelas,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1448H/2026 bertema ‘MADANI Dihayati, Ummah Diberkati’, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Perdana Menteri menjelaskan cabaran kepada umat Islam bukan hanya untuk mempamerkan, tetapi juga menarik minat dan melakar contoh terbaik.
Anwar menegaskan dalam konteks Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, nilai murni Islam mesti diterapkan serta dihayati dan bukan hanya bersandarkan prinsip kaum semata-mata.
“Dalam menghayatinya, tidak semestinya tuntas atau konsisten dengan mesej. Ini teguran kepada kita, bagaimana boleh kita perbaiki.
“Kadang-kadang masalah sekarang, bukan orang tidak mudah mahu menerima Islam tetapi kadang-kadang orang berasa lebih cemas dengan nada Islam kita. Masalah bukan pada orang lain, pada kita juga,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sambutan Maulidur Rasul SAW setiap tahun sentiasa menyuntik semangat baharu dengan nyalaan obor Islam yang dinamik.
“Sambutan ini hanya bermakna jika ia menyuntik semangat serta kesedaran, dan kita selepas hari ini mampu menjadi umat Islam yang jauh lebih baik serta boleh memberikan contoh terbaik bagi umat manusia,” katanya. -BH Online
