Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) disaran menubuhkan badan khas bagi menyiasat pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) antara 2017 hingga kini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penubuhan badan khas itu penting bagi membolehkan badan berkenaan menjelaskan keadaan sebenar mengenai TH selepas 2017, berdasarkan fakta dan realiti.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ini sekali gus dapat membantu memperbetul persepsi masyarakat berhubung isu pengurusan serta tadbir urus TH.

“Cadangan ini dikemukakan secara tidak formal oleh beberapa Ahli Parlimen, bertujuan mengupas dan memperjelas aspek tadbir urus serta pengurusan TH, terutama perkara dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

“Saranan ini harus diikut supaya tiada tuduhan ‘sakau’, sebaliknya sijil dikeluarkan Jabatan Audit Negara (JAN) jelas memperlihatkan pengauditan TH berdasarkan Akta Tabung Haji 1995 yang memperuntukkan prosesnya perlu dilakukan JAN.

“Inilah yang harus diteliti PAC supaya ia dapat memperbetul persepsi dan berdasarkan kepada realiti mahu diketahui khalayak umum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Musyawarah Nasional 2.0 – Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan TH di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Hadir sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Awang Hashim.

Musyawarah Nasional yang diumumkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 akan memfokuskan kepada lima teras utama sebagai asas perbincangan dalam merangka hala tuju masa depan umat Melayu dan negara.

Ahmad Zahid merangkap Pengasas Musyawarah Nasional juga tidak bercadang mengemukakan resolusi Forum Musyawarah Nasional 2.0 ke Kabinet, selain kurang bersetuju dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan semula bagi menyiasat TH, seperti dikemukakan forum itu.

“Saya tidak fikir ianya perlu dibawa ke Kabinet kerana ini adalah forum penjelasan dan pada hemat saya perkara disarankan secara tidak formal oleh Ahli Parlimen harus diberikan keutamaan.

“Ini terutama cadangan PAC menubuhkan badan penyiasat di bawah tanggungjawab PAC sendiri dan ini lebih afdal berbanding kaedah lain.

“(Mengenai gesaan RCI dibuat sekali lagi) saya fikir PAC lebih sesuai melakukan siasatan kerana mereka mempunyai locus standi yang termaktub dalam tugas dan tanggungjawabnya,” katanya. -BH Online