KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan tambahan peruntukan lebih RM168 juta dalam Belanjawan 2027 bagi memperkukuh bantuan kepada kumpulan sasar, termasuk wanita, keluarga, kanak-kanak dan warga emas.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata cadangan berkenaan dikemukakan selepas pihak kementerian mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan bagi menentukan keperluan perbelanjaan dan program yang akan diberi keutamaan.
Menurutnya, jumlah keseluruhan peruntukan yang dicadangkan itu hampir RM4 bilion kerana ia termasuk penerima bantuan kebajikan yang nama mereka disenaraikan satu persatu.
“Sebelum ini, peruntukan untuk penerima kebajikan adalah sekitar RM3 bilion dan peruntukan itu masih kekal, cuma kita perlu menambah peruntukan bagi cadangan baharu yang kita kemukakan.
“Jumlah tambahan yang dicadangkan itu lebih RM168 juta, menjadikan keseluruhannya hampir RM4 bilion,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pelancaran Inisiatif Sektor Penjagaan di bawah Belanjawan Madani 2026, di sini hari ini.
Nancy berkata, walaupun jumlah itu nampak besar, ia membabitkan penerima kebajikan yang disenaraikan dan pihaknya memerlukan peruntukan tambahan sekiranya terdapat pertambahan penerima.
Beliau berkata, cadangan belanjawan kementerian memberi fokus kepada kumpulan sasaran dan bukan program bersifat glamor, sebaliknya menjurus kepada aspek kebajikan serta peningkatan ekonomi golongan yang memerlukan.
“Kita lebih kepada kumpulan sasaran, sama ada untuk menggalakkan orang berkahwin atau mempunyai anak, semuanya dimasukkan dalam cadangan bajet kita.
“Antara bantuan yang diberi perhatian ialah kepada wanita yang melalui proses perceraian, khususnya apabila mahkamah memutuskan nafkah perlu diberikan kepada anak-anak,” katanya.
Menurutnya, kementerian turut membantu wanita yang terbabit dalam urusan berkaitan mahkamah, termasuk menyediakan khidmat guaman bagi memastikan mereka mendapat sokongan sewajarnya sepanjang proses berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata, cadangan tambahan peruntukan turut membabitkan warga emas, termasuk usaha memperkukuh bantuan kepada penjaga yang menguruskan individu tidak berkeupayaan di rumah.
“Bagi saya, penjaga itu lebih kepada orang yang menjaga unfit care worker di rumah. Jadi, kita mencadangkan supaya peruntukan untuk penjaga ditambah,” katanya.
Bagaimanapun, Nancy menegaskan, semua cadangan berkenaan masih tertakluk kepada keputusan kerajaan dan hanya akan diketahui apabila Belanjawan 2027 dibentangkan pada 9 Oktober depan.
Beliau berkata, daripada keseluruhan cadangan yang dikemukakan, terdapat lima elemen atau kategori utama menjadi tumpuan kementerian dengan keutamaan diberikan kepada keperluan kumpulan sasar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Lima kategori itu lebih kepada kumpulan sasaran kami, terutama JKM yang memerlukan penambahan peruntukan,” katanya menambah antara perkara baharu dicadangkan termasuk aspek penjagaan, bantuan berkait wanita, krisis keganasan rumah tangga, keluarga dan warga emas.
Beliau berkata, kementerian berharap cadangan yang dikemukakan itu dapat dipertimbangkan demi memperkukuh kebajikan serta kesejahteraan kumpulan sasaran. -BH Online
