Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berharap Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan pada Oktober ini terus memberi tumpuan kepada pemerkasaan penyelidikan pertanian dan ternakan bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), agensi itu akan memberi tumpuan antaranya kepada penyelidikan tanaman strategik seperti padi, kelapa, keledek, bawang dan jagung, selain sektor ternakan, mulai tahun depan.

Beliau berkata turut diberi perhatian ialah program pembangunan usahawan termasuk Projek Rezeki Tani dan Program Agropreneur Muda.

“Semua ini kita mohon melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Kita mohon apa yang kita cadangkan dan sasarkan untuk penyelidikan kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI Kampung Maju Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai fokus dan harapan agensi berkenaan bagi Belanjawan 2027.

Mohamad Zabawi berkata dianggarkan sebanyak RM40 juta dimohon MARDI pada setiap tahun bagi tujuan penyelidikan menerusi Rancangan Malaysia.

Mengenai Kampung Angkat MADANI, beliau berkata sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi tujuan pembangunan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan komuniti di Kampung Maju Jaya.

Katanya, sebanyak RM250,000 daripadanya adalah bagi menaik taraf dan baik pulih Dewan Serbaguna Kampung Maju Jaya, RM44,000 bagi Program Hari Komuniti dan Kesejahteraan serta RM200,000 bagi Program Pembangunan Usahawan Komuniti.

Beliau berkata MARDI turut merancang memperkasakan usahawan makanan kecil-kecilan di kampung itu dengan menambah baik produk mereka, selain memperkenalkan projek pertanian bandar.

“Harapan saya agar apa juga status sosioekonomi yang ada di sini termasuk pertanian ataupun usahawan makanan, kita cuba tingkatkan kepada tahap yang lebih besar dan mendatangkan pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.– BERNAMA