Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menawarkan pengalaman pelancongan Islam yang lebih menyeluruh, melangkaui penyediaan makanan halal dan kemudahan masjid, bagi menarik lebih ramai pelancong Muslim termasuk dari Asia Barat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, segmen pelancongan Muslim semakin berkembang dan Malaysia mempunyai potensi besar untuk menawarkan pelbagai produk serta pengalaman berkaitan Islam sepanjang tahun.

“Pelancongan untuk segmen pelancong Muslim ini semakin besar dan kita harus menghidangkan pada mereka bukan hanya soal makanan, soal masjid tetapi banyak produk-produk yang berkaitan dengan minat mereka untuk menerokai pengalaman di negara-negara yang diperintah oleh kerajaan Islam agar kelainan dapat dirasai oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, promosi pelancongan Islam juga tidak seharusnya tertumpu kepada musim perayaan tertentu seperti Ramadan, Aidilfitri dan Aidiladha sahaja.

“Malaysia mempunyai potensi yang cukup besar dalam pelancongan Islam ini. Bukan hanya pada acara atau peristiwa-peristiwa tertentu umpamanya Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidilfitri atau bulan Ramadan tetapi sepanjang tahun kita boleh menghidangkan dan menawarkan pelbagai pakej pelancongan Islam.

“Bukan hanya sekadar masjid tetapi ekosistemnya telah berubah. Kita rasa pelancong-pelancong Islam juga telah berubah. Dan ini termasuk pelancong yang datang bukan menggunakan kapal terbang tetapi ada pakej yang telah ditawarkan iaitu menggunakan cruise dan pengisiannya sepanjang perjalanan itu akan dibuat dengan pelbagai aktiviti yang berunsurkan Islam tetapi tidak menyentuh dan mengubah akidah kepada pelancong-pelancong (lain),” katanya.

Ahmad Zahid turut mengakui perkembangan di Asia Barat memberi kesan terhadap corak kedatangan pelancong ke rantau ini, termasuk peralihan mereka ke negara ASEAN.

“(Susulan konflik) mereka banyak datang ke Asia Tenggara, ke negara-negara ASEAN dan usaha mesti dilakukan untuk menarik mereka untuk lebih ramai datang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata usaha seperti WITTEC merupakan antara inisiatif untuk menarik lebih ramai pelancong Muslim ke Malaysia.-Astro Awani