KUALA LUMPUR: Aduan berhubung kegiatan menyembunyikan stok minyak masak peket bersubsidi, mencatat penurunan mendadak, iaitu 66.15 peratus bagi tempoh Januari hingga April lalu berbanding tempoh sama pada 2025.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata penurunan itu sekali gus memberi petunjuk awal bahawa langkah pendigitalan yang dilaksanakan kementeriannya menerusi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dan Mobile eCOSS mula memberi kesan terhadap isu ketirisan serta kesukaran mendapatkan bekalan dalam pasaran.
Berdasarkan perbandingan bagi tempoh empat bulan pertama 2025 dan tahun ini, beliau berkata, aduan mengenai kekurangan atau ketiadaan bekalan berkenaan turut menurun 24.47 peratus.
“Aduan berkaitan penjualan bersyarat menurun 6.19 peratus, manakala aduan peniaga enggan menjual minyak masak peket bersubsidi pula menurun 1.15 peratus,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook, hari ini.
Beliau berkata, ukuran kejayaan sesuatu dasar bukan sekadar pada sistem atau angka, tetapi apabila rakyat sendiri mula merasakan bekalan lebih mudah diperoleh.
“Saya tertarik membaca perkongsian seorang pengguna mengenai bekalan minyak masak peket bersubsidi. Katanya, kalau dulu memang susah hendak mendapatkan minyak masak ini, sekarang pergi ke mana-mana pun, insya-Allah stok lebih mudah ditemui.
“Inilah reformasi yang kita mahu rakyat rasai. Sebab itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) memperkenalkan eCOSS serta Mobile eCOSS untuk memantau pengedaran minyak masak peket bersubsidi dengan lebih menyeluruh, daripada rantaian bekalan hinggalah ke tangan pengguna.
“Sejak 1 Mac lalu, pembelian minyak masak peket bersubsidi hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia.
“Setakat 3 Julai lalu, lebih 5.2 juta rakyat Malaysia sudah berdaftar menggunakan Mobile eCOSS.
“Terima kasih atas perkongsian ini. Kita akan terus memperkemaskan pemantauan supaya minyak masak peket bersubsidi ini benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia yang berhak,” katanya.-BH Online
