KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada isu kos sara hidup rakyat secara lebih menyeluruh dalam Belanjawan 2027, dengan mengambil kira situasi geopolitik dunia yang masih tidak teratur, menurut Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata penyediaan belanjawan itu juga, akan meneliti pelbagai faktor luaran termasuk pergerakan harga minyak mentah dunia.
“Saya lihat secara keseluruhan bagi pihak kerajaan, fokus dalam Belanjawan 2027 termasuk memastikan isu kos sara hidup rakyat ditangani dengan lebih menyeluruh, mengambil kira keadaan geopolitik yang pada waktu ini belum selesai.
“Jadi, mungkin dari segi perkiraan harga minyak mentah yang biasanya menjadi satu daripada kayu ukur, itu akan menjadi antara faktor yang akan diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) X JAGO Tahun 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pasar Taman Seri Sentosa, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP), Normaizatulakmal Tujad.
Fahmi berkata Belanjawan 2027 juga, akan memberi keutamaan kepada projek yang mampu menyelesaikan masalah rakyat pada kadar segera, selain usaha menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa serta menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Bagi Kementerian Komunikasi, beliau berkata antara keutamaan ialah melengkapkan capaian Internet, khususnya di kawasan pedalaman.
Selain itu, Fahmi berkata kementerian itu turut meneliti isu kemampanan media serta penyediaan insentif, bagi menarik penganjuran acara dan penggambaran antarabangsa ke Malaysia.
“Mungkin beberapa insentif seperti CIME (Concerts and Events in Malaysia Incentive) dan juga FIMI (Filming in Malaysia Incentive)…dua-dua ini mampu menarik lebih banyak pelabur untuk datang ke Malaysia.
“Jadi, itu yang pada waktu ini dalam perbincangan pada peringkat Kementerian Komunikasi dan mesej yang telah kami terima juga daripada Kementerian Kewangan,” katanya.– BERNAMA
