Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Kesan fenomena El Nino terhadap hasil tanaman komoditi, khususnya sawit, lazimnya tidak berlaku serta-merta, sebaliknya boleh dirasai beberapa bulan selepas cuaca panas dan kekurangan hujan berpanjangan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata justeru, kementerian kini memantau perkembangan pengeluaran dan keadaan di lapangan bersama semua agensi berkaitan bagi menilai kesan fenomena berkenaan terhadap sektor komoditi.

“El Nino sememangnya boleh memberikan kesan kepada tanaman komoditi jika cuaca panas dan kekurangan hujan berpanjangan.

“Keutamaan kita ialah membantu pekebun kecil membuat persediaan dan mengurangkan kesan terhadap tanaman serta pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Salam Agrikomoditi Negeri Sembilan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Ismail Lasim di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Mohd Hisham Mohd Anip baru-baru ini dilaporkan berkata potensi fenomena El Nino mencapai kategori sangat kuat atau El Nino Super antara Oktober hingga Disember kini melebihi 90 peratus.

Sementara itu, Noraini berkata kementerian terus memperkukuh pendekatan turun padang bagi memastikan pekebun kecil bukan sahaja mendapat akses kepada bantuan kerajaan, malah turut dibimbing untuk meningkatkan produktiviti pendapatan dan nilai tambah hasil agrikomoditi.

Beliau berkata pendekatan itu penting kerana masih terdapat masyarakat yang kurang mengetahui tentang bantuan, latihan dan peluang yang disediakan kerajaan termasuk saluran serta syarat untuk mendapatkannya.

Berhubung program hari ini, beliau berkata acara itu merupakan platform menyalurkan maklumat, perkhidmatan dan peluang yang disediakan kerajaan lebih dekat kepada masyarakat, selain memberikan ruang kepada kementerian mendengar sendiri pandangan serta keperluan komuniti.

Dalam pada itu, Ismail berkata Negeri Sembilan perlu memperkukuh aktiviti pemprosesan, pembungkusan, penjenamaan dan pengedaran supaya lebih banyak nilai ekonomi diwujudkan di dalam negeri, sekali gus tidak hanya bergantung pada pengeluaran bahan mentah.

Beliau berkata pendekatan secara kelompok dalam kalangan pekebun dan pengusaha juga perlu diperkukuh bagi membolehkan hasil dikumpulkan, kemudahan dikongsi dan pemasaran dilaksanakan dengan lebih tersusun.

Beliau berkata penggunaan teknologi yang bersesuaian termasuk mekanisasi perlu diperluas bagi membantu menjimatkan kos, meningkatkan hasil, mengurangkan kebergantungan pada tenaga kerja serta memudahkan operasi harian pekebun kecil.

“Selain itu, saya juga menyeru supaya anak-anak muda melihat sektor agrikomoditi sebagai bidang yang menawarkan masa depan yang cerah. Sudah tentu, kerajaan akan sentiasa memberikan sokongan dan bantuan kepada pengusaha agrikomoditi,” katanya.– BERNAMA