KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menekankan bahawa pendidikan perlu terus diberi kepada anak-anak yang berada di sebalik tembok penjara, kerana mereka juga berhak mendapat peluang untuk mengubah kehidupan.
Beliau berkata, kesilapan lalu tidak seharusnya menjadi penentu bagi menghukum keseluruhan kehidupan seseorang, sebaliknya setiap individu perlu diberikan ruang dan peluang untuk berubah.
“Jangan biarkan satu bab yang gelap menentukan keseluruhan cerita hidup kita.
Dahulu, Penjara Wanita Kajang ialah tempat saya keluar masuk menjalankan amanah sebagai peguam dan aktivis masyarakat.
“Semalam, saya kembali. Tetapi kali ini, untuk bertemu anak-anak yang sedang mengikuti program Hijrah Kasih.
“Setiap kali melawat Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney, saya selalu diingatkan mengenai satu perkara.
“Manusia boleh melakukan kesilapan tetapi manusia juga boleh berubah. Untuk berubah, seseorang memerlukan peluang.
“Sebab itu, pendidikan mesti terus hadir walau di mana pun anak-anak kita berada. Di sebalik tembok penjara sekalipun, mereka masih berhak mendapatkan pendidikan,” katanya dalam perkongsian melalui Facebook beliau, hari ini.
Malah, Fadhlina berkata, anak-anak yang mengikuti pendidikan di sekolah dalam penjara telah membuktikannya dengan pencapaian kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 100 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Masa lalu tidak boleh diubah. Tetapi apa yang kita pilih untuk lakukan selepas ini, masih berada di tangan kita.
“Kerana kadang-kadang yang diperlukan seseorang untuk mengubah hidupnya hanyalah satu peluang.
“Semoga Hijrah Kasih terus menjadi ruang untuk anak-anak kita berhijrah daripada kesilapan kepada harapan, dan daripada harapan kepada kehidupan yang lebih baik,” katanya. -BH Online

