Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Pakistan menandatangani Triti Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP), sekali gus memperkukuhkan kerjasama keselamatan dan undang-undang antara kedua-dua negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata triti berkenaan ditandatangani bersama Menteri Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik Pakistan, Syed Mohsin Raza Naqvi, selepas kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif.

Pemeteraian triti itu berlangsung di Pejabat Perdana Menteri Pakistan dengan disaksikan Muhammad Shehbaz.

“Pemeteraian ini adalah satu lagi pencapaian penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Pakistan, khususnya dalam memperkukuhkan kerjasama keselamatan dan undang-undang antara kedua-dua negara,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, malam tadi.

Saifuddin Nasution berkata, triti itu adalah hasil rundingan lima siri yang dilaksanakan sejak September 2025 membabitkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Katanya, Jemaah Menteri turut memberi persetujuan terhadap triti itu pada 13 Mei lalu.

Beliau berkata, menerusi ITOP, banduan rakyat Malaysia yang ditahan di Pakistan boleh dibawa pulang untuk menjalani baki hukuman di Malaysia, manakala banduan warga Pakistan yang menjalani hukuman di Malaysia boleh dipindahkan ke negara asal untuk tujuan sama.

“Ini turut membolehkan mereka mengikuti program pemulihan dalam persekitaran lebih kondusif serta bersesuaian dengan acuan dan budaya negara masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pemeteraian triti itu menambah satu lagi instrumen perundangan baharu dalam hubungan Malaysia-Pakistan yang telah lama terjalin, selain mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperluaskan kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat.-BH Online