KUALA LUMPUR: Kejayaan projek pembangunan kerajaan tidak boleh diukur berdasarkan keupayaan menyiapkannya lebih awal daripada jadual semata-mata, sebaliknya perlu memenuhi tiga aspek utama iaitu tempoh, kos dan kualiti.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata setiap projek yang dilaksanakan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu mencapai spesifikasi kualiti serta kos ditetapkan, selain disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
“Bukan kita bangga dengan siap awal. Kalau ada masalah dengan kualiti, itu bukan (kejayaan) walaupun siap awal. Kalau melebihi kos, bukan (kejayaan).
“Jadi, walaupun siap awal, ia mesti dalam kos yang ditetapkan dan memenuhi spesifikasi kualiti yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa bagi Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Perumahan di Ibu Pejabat JKR, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ibrahim Esa; Ketua Penolong Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jafrizul Jamhari dan Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari.
Nanta berkata, KKR dan JKR mempunyai prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan bagi memantau pelaksanaan projek, termasuk pemeriksaan secara berkala dan ketat bagi memastikan kontraktor mematuhi spesifikasi ditetapkan.
Katanya, pemantauan itu penting bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan tanpa menjejaskan kualiti atau menyebabkan kos melebihi peruntukan.
“JKR memang menegaskan kepada kontraktor supaya menyiapkan projek ini dengan menepati kos, kualiti dan tempoh yang sudah ditetapkan. Itu yang penting,” katanya.
Mengulas projek pembinaan IPK Perak dan perumahan baharu itu, beliau berkata, projek bernilai kira-kira RM366 juta itu dijangka siap pada Februari 2030, dengan tempoh kontrak selama 42 bulan.
Katanya, projek yang dibangunkan di kawasan seluas 25 hektar bersebelahan Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru, Ipoh itu adalah projek strategik di bawah KDN bagi memperkasakan kemudahan serta keupayaan operasi keselamatan di negeri berkenaan.
“Projek ini dijangka meningkatkan keupayaan arahan dan kawalan PDRM, selain memperkukuh penugasan serta kawalan keselamatan di negeri itu.
“Dengan peningkatan keupayaan arahan dan kawalan, projek ini disasarkan mengurangkan indeks jenayah sebanyak lima peratus setiap tahun, manakala masa tindak balas polis ditambah baik daripada 15 minit kepada 10 minit.
“Kalau bagus, siap lebih awal daripada jadual lagi bagus. Tetapi yang penting, ia mesti dalam kos yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi kualiti yang ditetapkan,” katanya.
Projek berkenaan dilaksanakan Serada Realty Sdn Bhd dengan skop merangkumi blok pentadbiran IPK, Kompleks Logistik, Cawangan Khas, garaj kenderaan, stor, mess pegawai, balai pengawal, surau serta kemudahan perumahan dan sokongan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sepanjang 2025, JKR mengeluarkan 17 SST bernilai RM292.8 juta bagi pelaksanaan projek di bawah KDN.
Sementara itu, beliau memaklumkan, sebanyak 871 projek di seluruh negara sedang dalam pembinaan ketika ini, dengan 36 daripadanya atau 4.1 peratus dikategorikan sebagai projek bermasalah.
“KKR dan JKR menetapkan sasaran untuk mencapai sifar projek sakit dan terbengkalai, selain memperkukuh pemantauan bagi memastikan setiap projek kerajaan memenuhi tempoh, kos dan kualiti ditetapkan,” katanya.-BH Online

