Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lima pelajar A-Level Kolej MARA Seremban menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Imperial College London dalam bidang Biosains Perubatan, Geologi, Sains Bumi dan Planet serta Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Mereka ialah Nur Alia Natasha Azmi, Iman Surayya Mohd Ezni Famir, Danish Faisal Mohd Faiz, Rysa Rizq Adam Malik dan Muhammad Fahmi Razman.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata MARA akan terus memperluas laluan pendidikan antarabangsa bagi memberi peluang kepada pelajar mendapat pendedahan kepada ekosistem ilmu dan teknologi global.

Katanya, mulai tahun ini, MARA menyediakan penempatan alternatif kepada pelajar International Baccalaureate (IB) dan A-Level di universiti terpilih di Turkiye, China dan Austria dalam bidang strategik termasuk kecerdasan buatan, keselamatan siber, semikonduktor dan aeroangkasa.

“Pelajar turut diberikan kursus persediaan bahasa dan budaya sebelum melanjutkan pengajian tahun depan. 

“Pembukaan laluan ini mencerminkan usaha MARA memastikan anak-anak Bumiputera bukan sekadar menjadi pengguna ilmu dan teknologi, malah berupaya menguasai, mencipta dan memimpin dalam bidang strategik di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Perdana Kolej MARA, di sini, hari ini.

Mengulas pencapaian Kolej MARA, Asyraf Wajdi berkata sehingga 31 Julai lalu, institusi itu merekodkan 1,497 graduan bagi tahun ini, manakala jumlah keseluruhan graduan sejak 1994 mencecah 56,654 orang.

Katanya, MARA berperanan sebagai jambatan bagi golongan yang mempunyai potensi, semangat dan impian untuk mencapai kejayaan melalui pendidikan.

“Kita mempunyai anak-anak muda yang mempunyai potensi, semangat serta impian dan di sisi lain, terbentang dunia yang luas dengan universiti terbaik, teknologi terkini dan peluang yang tidak terbatas.

“Tugas MARA adalah memastikan anak-anak ini mempunyai jambatan untuk sampai ke sana dengan ilmu, kemahiran dan persediaan yang cukup, tetapi dalam masa sama tidak meninggalkan nilai dan jati diri,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, kejayaan pendidikan MARA tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara semata-mata.

Sebaliknya, katanya, kejayaan itu perlu dilihat berdasarkan sejauh mana ilmu dan pengalaman yang diperoleh pelajar dapat diterjemahkan kepada sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

“Saya mengharapkan generasi muda MARA akan terus menjadikan ilmu sebagai bekalan utama dalam menempuh dunia yang semakin terbuka dan mencabar,” katanya. – BH Online