PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan keutamaan pengambilan pekerja bagi sektor 3D (kotor, berbahaya dan sukar) tetap mengutamakan warga tempatan sebelum peluang dibuka kepada pekerja asing.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, mendedahkan kerajaan sebelum ini sudah membuka ribuan kekosongan sektor 3D menerusi portal MyFutureJobs, namun hanya 352 permohonan diterima daripada rakyat tempatan.
Beliau berkata, perkara itu menunjukkan masih terdapat jurang ketara antara jumlah kekosongan yang ditawarkan dengan sambutan rakyat Malaysia.
“Selepas pekerjaan ditawarkan di MyFutureJobs dan tidak ada rakyat Malaysia yang mengambil peluang itu, barulah kita berikan kepada pekerja asing, pelarian atau mana-mana orang lain,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Bulan Ogos dan Sambutan Bulan Kemerdekaan 2026 di Menara PERKESO hari ini.
Beliau mengulas cadangan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) supaya kerajaan menangguhkan pengambilan 15,000 pekerja asing bagi sektor 3D dan memberi peluang kepada golongan tanpa kewarganegaraan (stateless) yang berada di negara ini.
Media Isnin lalu melaporkan MHO menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung arahan kerajaan mempercepatkan pemprosesan 15,000 permohonan pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor tertentu.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishammuddin Hashim, berkata masyarakat stateless wajar diberi peluang bekerja kerana mereka sudah berada di Malaysia, malah sebahagiannya terdiri daripada generasi keempat dan kelima yang dilahirkan serta membesar di negara ini.
Ramanan berkata kerajaan akan terus memastikan dasar berkaitan pekerjaan memberi manfaat terbaik kepada rakyat dan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, berkata beberapa perkara membabitkan pekerja turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini termasuk beberapa skim yang akan diluluskan.
Katanya, dua perkara penting yang akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang ialah Skim Pengembara dan Skim Ibu Bersalin. -BH Online

