KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 bagi memperkukuh kuasa kawal selia dan penguatkuasaan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) kini di peringkat akhir sebelum dibentangkan di Parlimen pada mesyuarat akan datang.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pindaan itu antara usaha kerajaan memperkukuh kerangka kawal selia amalan kejuruteraan, selain memastikan keselamatan dan kepentingan awam terus terpelihara.
Katanya, pelbagai cadangan diterima menerusi sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dan diteliti untuk dimasukkan dalam cadangan pindaan berkenaan.
Beliau berkata pindaan itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh peruntukan akta sedia ada, malah memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang dikenal pasti dalam memastikan aspek kawal selia amalan kejuruteraan dapat diperkasakan dengan lebih berkesan.
“Ini bukan peraturan untuk peraturan semata-mata.
“Ia adalah mengenai keselamatan awam, akauntabiliti profesional dan memastikan kerja kejuruteraan dilaksanakan oleh individu yang mempunyai kelayakan sewajarnya untuk memikul tanggungjawab itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Konvensyen Kejuruteraan Kebangsaan 2026 (NEC2026), di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Datuk Ibrahim Esa.
Nanta berkata, aspek kerja kejuruteraan profesional yang memerlukan pendaftaran mesti dilaksanakan oleh individu yang berdaftar dan mempunyai kelayakan sewajarnya.
“Saya ingin menjelaskan pendirian kerajaan, iaitu kerja kejuruteraan profesional yang memerlukan pendaftaran mesti dilaksanakan oleh individu yang berdaftar dan mempunyai kelayakan sewajarnya.
“Jangan melantik individu tidak berdaftar untuk melaksanakan kerja kejuruteraan profesional yang memerlukan pendaftaran,” katanya.
Tegasnya, pendaftaran bukan sekadar keperluan pentadbiran, sebaliknya satu langkah perlindungan bagi menjamin keselamatan dan kepentingan awam.
“Sekiranya berlaku ketidakpatuhan, tindakan penguatkuasaan sewajarnya, termasuk penalti dan denda jika berkenaan, mesti diambil,” katanya. -BH Online

