Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhasrat memperluaskan Program Advokasi Nuklear ke peringkat sekolah rendah bagi membentuk kefahaman tepat mengenai teknologi berkenaan sejak usia muda.

Menterinya, Datuk Chang Lih Kang, berkata pendedahan awal penting bagi memastikan generasi muda memahami teknologi nuklear berdasarkan fakta dan ilmu pengetahuan, bukan persepsi yang sering mengaitkannya dengan risiko, senjata atau kemusnahan.

Katanya, MOSTI akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkenalkan usaha advokasi itu di peringkat sekolah rendah.

“Apabila disebut nuklear, ramai yang terus terbayangkan risiko dan kemusnahan sedangkan teknologi nuklear mempunyai pelbagai manfaat dan digunakan dalam banyak bidang termasuk kesihatan, pertanian, industri, tenaga dan alam sekitar.

“Sebab itu kita mahu masyarakat, khususnya generasi muda, memahami teknologi nuklear berdasarkan fakta dan ilmu pengetahuan supaya persepsi yang kurang tepat dapat diperbetulkan,” katanya menerusi kenyataan.

Lih Kang berkata, pendedahan sejak usia muda juga penting bagi membentuk minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Program Advokasi Nuklear membawa mesej ‘Nuklear Untuk Rakyat’ dengan memberi penekanan kepada penyampaian fakta serta ilmu pengetahuan mengenai manfaat dan aplikasi teknologi nuklear.

Bagi memperluas pendedahan, MOSTI turut memperkenalkan Bioeconomy Corporation sebagai rakan strategik, manakala Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom dan Pusat Sains Negara bertindak sebagai rakan pelaksana.

Kit advokasi yang digunakan mengandungi bahan pembelajaran mudah, visual dan interaktif, termasuk buku Pengembaraan Dunia Nuklear, kit model molekul, model tiga dimensi teras reaktor, kad fakta interaktif, Pencarian Rakan Nuklear dan poster aplikasi teknologi nuklear.

Program itu turut menampilkan aktiviti interaktif seperti Misi Eksplorasi Nuklear (Escape Room), Bandar Pintar Nuklear (Board Game), demonstrasi Kebuk Awan serta pengalaman realiti maya (VR).

Sehingga kini, Program Advokasi Nuklear sudah dilaksanakan di 12 lokasi di seluruh negara, termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Sarawak, MRSM Kuala Krai, Lahad Datu serta beberapa lokasi di Sarawak.

Pelaksanaan program berkenaan selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menyokong pembangunan dan penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara. -BH Online