PUTRAJAYA: Kerajaan belum membuat keputusan sama ada mahu mengekstradisi pembantu juruterbang yang bolos bersama sejumlah dadah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jakarta, Indonesia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sebarang tindakan lanjut mengenai kes itu akan ditentukan selepas siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman diselesaikan kelak.
Katanya, JSJN ketika ini sedang mendapatkan maklumat daripada suspek untuk mengenal pasti kes itu secara menyeluruh, termasuk sama ada ia sebahagian daripada elemen jenayah terancang dan sebagainya.
“Kita perlu ‘establish’ semua fakta kes ini terlebih dahulu sebelum menentukan hala tuju seterusnya.
“Hakikatnya, dia ditahan di Indonesia dan tertakluk kepada undang-undang negara terbabit,” katanya di sini hari ini.
Beliau diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata demikian pada sidang media Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Jabatan Imigresen serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Kelmarin, juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan bersama kira-kira 25 kilogram dadah di Indonesia bulan lalu, dipercayai sudah beberapa kali menyeludup dadah ke beberapa negara mengikut jadual penerbangannya, sejak 2024.
Juruterbang berusia 39 tahun itu turut mendedahkan maklumat mengenai beberapa sindiket dadah di Malaysia dan negara lain, termasuk Indonesia.
Dapatan itu diperoleh menerusi soal siasat pasukan JSJN terhadap juruterbang berkenaan di Jakarta, minggu lalu.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pembantu juruterbang itu ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Penahanan dibuat kira-kira jam 11.30 malam waktu tempatan selepas pegawai kastam Indonesia mengesan bagasi milik juruterbang itu mencurigakan menerusi imbasan sinar-X, sebelum mengarahkannya ke bilik pemeriksaan sebaik bagasi berkenaan dituntut.
Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram dalam bagasi itu, selain empat gram syabu dalam barang bawaannya, dengan nilai dianggarkan RM45 juta.
Berdasarkan kenyataan Polis Indonesia, suspek didakwa dijanjikan bayaran RM50,000 untuk membawa dadah itu ke Jakarta, sebelum ia diambil individu lain dari sebuah hotel. -BH Online

