KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menawarkan Tiket MADANI pada harga serendah RM200 kepada pemegang MyKad bagi menyaksikan Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang, Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif berkenaan hasil perbincangan dan persetujuan bersama pihak Bahrain, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menikmati pengalaman menyaksikan perlumbaan perlumbaan F1 secara langsung.
“Alhamdulillah, hasil perbincangan dan persetujuan bersama Bahrain, kerajaan sukacita mengumumkan Tiket MADANI khusus untuk pemegang MyKad pada harga serendah RM200 bagi akses sepanjang tiga hari acara.
“Moga inisiatif ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman Formula 1 secara langsung di Sepang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata, butiran lanjut mengenai penjualan tiket berkenaan akan diumumkan pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam masa terdekat.
Media sebelum ini melaporkan, Litar Antarabangsa Sepang menjadi tuan rumah perlumbaan F1 yang dijadualkan semula pada 2 hingga 4 Oktober ini.
Grand Prix Bahrain sepatutnya berlangsung pada April lalu, namun ditangguhkan pada Mac bersama Grand Prix Arab Saudi susulan perang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran. -BH Online
