KUALA LUMPUR: Pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diminta menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) membawa pelajar ke klinik susulan insiden dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah dilaporkan hilang selama empat hari.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata siasatan penuh perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, selain memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang.
“Apa pun faktor yang mendorong dua pelajar MRSM Alor Gajah ‘hilang’ empat hari, saya sudah minta Pengurusan MARA untuk semak SOP bawa pelajar ke klinik supaya tiada lagi insiden serupa berulang masa akan datang.
“Siasatan penuh mesti dibuat,” katanya melalui Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Asyraf memaklumkan dua pelajar terbabit masing-masing berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang sejak 11 Ogos lalu ditemukan selamat di Pasar Seni, di sini, malam tadi.
Sebelum dilaporkan hilang, kedua-dua pelajar mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan di Alor Gajah selepas kurang sihat.
Berdasarkan komen di media sosial, ramai berkongsi mengenai SOP membawa pelajar MRSM ke klinik untuk rawatan kesihatan.
Menelusuri komen, ada yang mendakwa tiada ketetapan untuk guru yang menemani pelajar bagi tujuan itu, selain ada juga yang menegaskan ia bukan tugas guru untuk berbuat demikian.-BH Online
