Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri bakal memperluas Inisiatif Perumahan Kasih Johor (PKJ) menerusi Bantuan Deposit Sewa Rumah Bangsa Johor RM1,000 yang akan mula dilaksanakan tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata bantuan berkenaan membabitkan peruntukan RM25 juta bagi fasa pertama dan dijangka memberi manfaat kepada 10,000 penerima.

Katanya, bantuan deposit sewa rumah itu bukan sahaja dibuka kepada Bangsa Johor, malah turut akan dipertimbangkan untuk penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini.

“Selain bantuan sewa, ada rintihan di luar sana meminta kerajaan mempertimbang bantuan deposit sewa rumah, terutama bagi mereka yang baru mula bekerja dan mungkin belum mampu membayar deposit.

“Jadi, kerajaan negeri melalui PKJ, insya-Allah akan meluluskan skim atau produk baharu iaitu Bantuan Deposit Sewa Rumah Bangsa Johor,” katanya selepas Majlis Penyerahan PKJ Fasa 5 di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut bercadang memperluaskan manfaat bantuan berkenaan kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor, termasuk jururawat, guru, polis dan anggota tentera.

“Contohnya jururawat, cikgu-cikgu, polis dan mungkin tentera yang sudah berhijrah ke Johor dan berkhidmat di Johor, kita akan pertimbangkan bantuan ini untuk mereka juga, insya-Allah,” katanya.

Menurutnya, bagi kelayakan bantuan dilaksanakan sebelum ini, mereka yang bermastautin dan bekerja di Johor layak memohon, selaras konsep Bangsa Johor yang merangkumi mereka yang membantu membangunkan negeri itu.

“Kita anggap bahawa siapa yang membantu membangunkan negeri Johor, berkhidmat di negeri Johor adalah sebahagian daripada keluarga besar Bangsa Johor,” katanya.

Onn Hafiz berkata, fasa kelima berkenaan membabitkan 6,000 penerima dengan jumlah bantuan RM22 juta, dengan kerajaan negeri akan meneruskan pelaksanaan fasa keenam bulan depan, membabitkan 5,000 penerima.

Langkah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk terus membantu meringankan beban rakyat serta menjaga kebajikan Bangsa Johor khususnya membabitkan agenda perumahan. -BH Online