SEREMBAN: Kerajaan negeri menyambut baik usaha Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengadakan inisiatif dengan mewujudkan Program Pemberian Insentif Penyerahan Anjing Terbiar Secara Sukarela 2026 sebagai langkah proaktif mengawal populasi anjing terbiar di daerah ini.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, berkata orang ramai perlu melihat secara positif usaha dilakukan MBS itu kerana ia mempunyai hubung kait dengan isu keselamatan.
“Usaha MBS melaksanakan program anjing terbiar itu dibuat berdasarkan keperluan. Jika terlalu banyak (anjing liar) dan boleh membahayakan orang ramai termasuk mengancam keselamatan serta boleh menyebabkan kemalangan jalan raya, ia sewajarnya diambil tindakan.
“Fokus kita sekarang demi kepentingan dan keselamatan rakyat, bukannya mana-mana kumpulan tertentu.
“Kita hendak lihat rakyat Negeri Sembilan hidup sejahtera dan makmur. Kalau banyak ancaman dan sebagainya, ia menggugat kemakmuran, jadi kita wajar ambil tindakan sepatutnya mengikut peraturan dan undang-undang,” katanya selepas Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan 2026, di Dewan MBS di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Ahli EXCO Kerajaan Negeri.
Semalam, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin, dalam kenyataan berkata program itu bagi meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti melalui pengurusan haiwan terbiar yang lebih sistematik serta berkesan dengan kadar insentif ditawarkan ialah RM50 bagi seekor anjing dewasa dan RM25 seekor anak anjing bawah enam bulan.
Ismail berkata, keutamaan kerajaan negeri untuk memastikan rakyat negeri ini dapat hidup selesa dan selamat melaksanakan urusan harian.-BH Online
