GOMBAK: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini mencapai kemajuan keseluruhan 95.08 peratus setakat Julai lalu, sekali gus berada pada landasan untuk memulakan operasi komersial jajaran Kota Bharu-Gombak pada Januari 2027.
ECRL kini memasuki fasa ujian dan pentauliahan selepas Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan ‘Fault-Free Run’ (FFR) bagi jajaran Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor sebagai persediaan penting dimulakan hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata perkembangan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran Fasa 1 ECRL dari Kota Bharu ke Gombak pada Disember 2026.
Beliau berkata, jajaran Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap pada Disember 2027 bagi membolehkan pengoperasian penuh ECRL bermula Januari 2028.
Namun, Loke berkata kementerian menyasarkan supaya ECRL dapat dibuka pada awal Disember 2026, bersempena cuti hujung tahun persekolahan dan tempoh perjalanan rakyat.
“Saya ingin mencabar pihak MRL dan CCC supaya kita cuba buka ECRL lebih awal daripada yang dijadualkan, iaitu pada awal Disember 2026. Kita harap tidak perlu menunggu sehingga 2027, sebaliknya cuba sedaya upaya untuk memulakan operasi sebelum penghujung tahun ini, tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan.
“Kementerian sedang berbincang untuk memudah cara beberapa proses ujian dan pentauliahan, khususnya FFR tanpa menjejaskan aspek keselamatan bagi membolehkan operasi ECRL dimulakan lebih awal,” katanya.
Beliau berkata pada Majlis Peluncuran Comprehensive Inspection Train (CIT), Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta permulaan SIT dan FFR Projek ECRL di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Presiden China Communications Construction Company Ltd (CCCC), Zhang Bingnan dan Pengarah Urusan CCCECRL, Deng Bo.
Majlis turut menyaksikan pengenalan pakaian seragam baharu kru tren dan kru perkhidmatan stesen ECRL sebagai gambaran awal petugas barisan hadapan yang akan memberikan perkhidmatan kepada penumpang.
SIT memberi tumpuan kepada integrasi dan penyelarasan sistem utama kereta api ECRL, termasuk sistem semboyan, komunikasi, bekalan kuasa tarikan serta talian sesentuh atas .
Ujian itu bertujuan memastikan semua sistem berkenaan dapat berfungsi secara bersepadu seperti yang ditetapkan sebelum perkhidmatan penumpang dimulakan.
Sementara itu, FFR akan menilai prestasi operasi dan kebolehpercayaan sistem kereta api bersepadu menerusi ujian sejauh 8,000 kilometer.
Ujian berkenaan turut merangkumi penilaian interaksi antara tren dengan sistem utama seperti semboyan, komunikasi dan bekalan kuasa bagi memastikan keseluruhan sistem dapat beroperasi dengan selamat, cekap dan boleh dipercayai.
Bagi menyokong pelaksanaan SIT dan FFR, Pemeriksaan Tren Komprehensif (CIT) turut diperkenalkan untuk menjalankan pemeriksaan dan pengesahan terperinci terhadap infrastruktur serta sistem kereta api ECRL sepanjang program pengujian.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Sri Darwis Abdul Razak, berkata tren CIT mampu merekod parameter geometri landasan, memeriksa sistem semboyan serta meneliti sistem aliran elektrik Overhead Catenary System (OCS) di sepanjang jajaran ECRL sejauh 665 kilometer.
“Tren CIT mampu beroperasi pada kelajuan sehingga 160 kilometer sejam dan turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bilik kawalan, bilik persidangan, bilik solat, ruang makan, kabin kelas perniagaan, bilik multimedia dan tandas,” katanya.
Dalam pada itu, konsep reka bentuk stesen-stesen utama ECRL turut diperkenalkan sempena permulaan SIT dan FFR, memberikan gambaran awal identiti seni bina stesen yang berkhidmat untuk ibu negeri di sepanjang jajaran berkenaan.
Reka bentuk itu menerapkan elemen yang diinspirasikan daripada budaya tempatan, warisan dan identiti seni bina negeri masing-masing, selain memenuhi keperluan fungsi sistem rel moden.
Sementara itu, Bingnan berkata permulaan SIT dan FFR menandakan satu lagi langkah penting ke arah penyiapan, penyerahan dan pengoperasian ECRL.
Beliau berkata, CCCECRL akan terus memacu kemajuan projek dengan mengutamakan standard, kualiti dan kecekapan tinggi bagi merealisasikan sistem kereta api yang mampu bertahan untuk jangka panjang.-BH Online

