PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dengan kerjasama lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan menawarkan data internet percuma menerusi Insentif Rebat RAHMAH sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YES.
Menerusi inisiatif berkenaan, beliau berkata, semua pengguna perkhidmatan prabayar dan pascabayar dalam kalangan warga Malaysia yang layak akan menikmati pemberian 10GB data internet percuma.
“Sebanyak 5GB data percuma akan diberikan pada Hari Kebangsaan, 31 Ogos 2026, manakala 5GB lagi pada Hari Malaysia, 16 September 2026.
“Kaedah dan tempoh penebusan data internet percuma ini akan diperincikan oleh syarikat telekomunikasi, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan,” katanya ketika berucap Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, soalan lazim (FAQ) berkaitan inisiatif berkenaan juga akan dimuat naik di laman sesawang Kementerian Komunikasi dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Fahmi mengumumkan nilai keseluruhan tajaan HKHM 2026 yang disahkan oleh Jawatankuasa Penajaan Kementerian Komunikasi setakat ini adalah sebanyak RM48.63 juta.
Daripada jumlah itu, katanya, RM2.7 juta adalah sumbangan dalam bentuk wang tunai, manakala RM45.93 juta lagi dalam bentuk barangan dan perkhidmatan.
“Jumlah ini merekodkan peningkatan amat memberangsangkan, iaitu lebih 118 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM22.3 juta.
“Berdasarkan keseluruhan nilai tajaan, 50 peratus adalah berbentuk promosi, 30 peratus berbentuk barangan untuk diberikan kepada pengunjung, manakala baki 20 peratus lagi adalah tajaan kepada jawatankuasa yang terbabit dalam penganjuran HKHM 2026,” katanya. -BH Online
