Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Gesaan beberapa Ahli Parlimen supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diputuskan Jemaah Menteri serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata dua perkara itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut berhubung gesaan berkenaan dilaksanakan.

“Ada dua keputusan yang perlu dibuat. Pertama, di peringkat Jemaah Menteri sama ada untuk meneruskan ataupun mengembangkan (siasatan) kerana kita tahu apabila RCI diwujudkan pada tahun 2021, bukan hanya (membabitkan keputusan) Jemaah Menteri.

“Malah, keputusannya juga kerana ia adalah Suruhanjaya Siasatan Diraja, maka perlu mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (2HKHM) 2026, di sini hari ini.

Semalam, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencadangkan RCI baharu dibuat bagi tempoh 2021 hingga 2025 kerana siasatan sedia ada hanya meliputi dari 2014 hingga 2020.

Mereka berpandangan RCI baharu itu perlu dibuat bagi menyiasat pengurusan TH dan pihak bertanggungjawab terhadap masalah kewangan serta pengurusan institusi itu.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan ketika ini menyerahkan pendedahan laporan RCI TH kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan penuh berdasarkan dapatan serta maklumat yang terdapat dalam laporan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan juga berdasarkan maklumat tambahan yang dijawab Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika penggulungan perbahasan mengenai laporan RCI TH.

Sementara itu, Fahmi memuji sikap Ahli Parlimen BERSATU yang menjalankan fungsi mereka dengan hadir dan membahaskan laporan RCI TH pada sidang khas Dewan Rakyat semalam.

Beliau menyifatkan tindakan berkenaan sebagai keputusan yang bijak dan tepat, selain berbeza dengan sikap parti pembangkang lain dalam Perikatan Nasional (PN) yang tidak hadir untuk membahaskan laporan berkenaan.

“Tapi saya lihat, setidak-tidaknya Ahli Parlimen daripada parti BERSATU menjalankan fungsi mereka semalam dalam sidang khas Dewan Rakyat untuk membahas laporan RCI Tabung Haji dan itu adalah keputusan yang bijak, tepat dan berbeza dengan sikap parti pembangkang yang lain daripada Perikatan Nasional.

“Kita kena ingat RCI ini telah ditubuhkan pada 2021, waktu parti seperti PAS dan juga Ketua Pembangkang adalah anggota Jemaah Menteri pada waktu itu.

“Jadi, ditubuhkan waktu mereka dalam kerajaan, disiapkan pada 2022 ketika mereka juga dalam kerajaan, yang mana Menteri menjaga hal ehwal agama adalah daripada kalangan PAS,” katanya.-BH Online