Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan bertindak tegas terhadap mana-mana kontraktor dan pihak yang melanggar peraturan atau memperdaya pemilik kediaman termasuk beroperasi menggunakan nama syarikat lain.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata setiap aduan yang diterima akan diteliti dan disiasat berdasarkan maklumat serta bukti dikemukakan pemilik kediaman.

Katanya, kontraktor yang terbukti bersalah boleh dikenakan denda hingga RM100,000 mengikut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) 1994 (Akta 520).null

“Kementerian memandang serius berhubung perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak didapati melanggar peraturan atau memperdaya pemilik kediaman dengan menggunakan nama syarikat lain.

  “CIDB mempunyai kuasa dan mekanisme penguatkuasaan terhadap kontraktor melanggar peruntukan Akta 520 serta peraturan di bawahnya,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas laporan BH mengenai isu penipuan sesetengah kontraktor di negara ini bagai tidak berkesudahan kerana ada sahaja kes didedahkan dari semasa ke semasa melalui pelbagai saluran, termasuk di media sosial.

Susulan itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mahu tindakan tegas diambil termasuk memastikan syarikat kontraktor tidak sewenang-wenangnya beroperasi semula menggunakan nama syarikat lain.

Pada masa sama, Alexander berkata, KKR bersedia memperkukuh kerjasama antara agensi bagi memastikan isu seperti ini dapat ditangani secara lebih menyeluruh, berkesan dan tegas.

Katanya, dalam kes membabitkan dakwaan penggunaan nama syarikat lain atau unsur penipuan, kementerian berpandangan tindakan tidak boleh dilihat dari sudut pengawalseliaan kontraktor semata-mata.

Pendekatan rentas agensi

Sebaliknya beliau berkata, ia memerlukan pendekatan rentas agensi yang lebih bersepadu, termasuk kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan pihak melakukan kesalahan tidak mengambil kesempatan daripada kelemahan atau pertindihan bidang kuasa dengan menukar identiti syarikat dan meneruskan operasi. 

“Kepentingan serta hak pemilik kediaman juga perlu terus dilindungi,” katanya.

Alexander berkata, kementerian mengakui wujudnya cabaran apabila ada kerja disalurkan melalui subkontraktor, syarikat berkaitan, proksi atau orang tengah bagi projek kerajaan.

Katanya, antara sistem pengawal seliaan dilaksanakan di bawah projek kerajaan adalah setiap agensi perlu memastikan kontraktor haram tidak dapat mengambil projek secara langsung atau berselindung melalui syarikat proksi atau orang tengah dengan memperkukuh kawalan di seluruh rantaian perolehan dan pelaksanaan projek. 

Antara langkah utama ialah pengesahan pendaftaran sebelum pelantikan setiap kontraktor utama dan subkontraktor hendak mempunyai Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) CIDB yang sah sebelum dibenarkan memulakan kerja. 

“Kawalan subkontraktor iaitu kontraktor utama diwajibkan mengisytiharkan semua subkontraktor terbabit. Pelantikan subkontraktor tidak berdaftar atau amalan menggunakan lesen syarikat lain perlu dianggap sebagai ketidakpatuhan yang boleh dikenakan tindakan.

“Kita juga melaksanakan integrasi data perolehan dan CIDB, mengadakan pemeriksaan berasaskan risiko serta semakan pihak benar-benar melaksanakan kerja dengan pemeriksaan bukan sekadar melihat nama kontraktor pada papan tanda atau dokumen kontrak.

“Selain turut menyemak siapa yang mengurus, menggaji pekerja, menyediakan bahan atau peralatan, menerima bayaran dan sebenarnya menjalankan kerja di tapak,” katanya. -BH Online