Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menambah baik pemantauan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan ‘titik buta’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia bagi membantu tugasan agensi penguatkuasaan dalam mengesan ancaman keselamatan di pintu keluar dan masuk negara.

Setakat ini, beliau berkata, sebanyak 5,000 CCTV telah dipasang di KLIA membabitkan kedua-dua terminal.

“Kalau ada kawasan ‘titik buta’ atau blind spot, kita akan menambah baik.

“Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kini dalam fasa kedua operasinya membabitkan beberapa bentuk perolehan, termasuk CCTV.

“Itu cuma peralatan dan infrastruktur, tetapi orang yang mengawasi atau memantau infrastruktur berkenaan sendiri harus kita melihat balik dari segi standard latihan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menziarahi keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, yang maut akibat terkena renjatan elektrik di Sabah pada Khamis lalu, di Kampung Hutan Pasir, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pembantu juruterbang Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram MDMA (ekstasi) dan sejumlah kecil methamphetamine ke negara itu.

Susulan penahanannya, keputusan ujian air kencing yang dijalankan pihak berkuasa Indonesia turut mendapati suspek positif methamphetamine, MDMA dan kokain.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, insiden sedemikian bukan hanya membabitkan soal keselamatan lapangan terbang semata-mata, sebaliknya ia juga menjejaskan nama baik negara.

“Negara kita dari sudut ketibaan pelancong adalah sangat cemerlang, malah mengatasi Thailand.

“Ia membabitkan pergerakan masuk (inbound) dan keluar (outbound). Pergerakan keluar ini kejadian yang terlepas, manakala pergerakan masuk adalah bawah kawalan kita.

“Bagaimanapun, ini masanya kita menyelaraskan koordinasi supaya tidak timbul isu bolos bahan terlarang,” katanya. -BH Online