Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menghentikan pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun berkuat kuasa serta-merta bagi mengelakkan kekeliruan yang dihadapi pemegang pasport ketika melakukan perjalanan ke luar negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata keputusan itu dibuat susulan isu tular membabitkan beberapa pemegang PMA yang mengalami kesulitan ketika melakukan perjalanan ke luar negara.

Menurut beliau, sebelum ini, Imigresen sudah merujuk perkara itu kepada International Civil Aviation Organization (ICAO) dan maklum balas yang diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh sah laku PMA melebihi 10 tahun.

“Bagaimanapun, kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahunmenghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.

“Bagi menangani kekeliruan ini, Imigresen menetapkan bahawa tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah selama 10 tahun sahaja.

“Penetapan ini bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA serta mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zakaria berkata, susulan penetapan itu, pengeluaran PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun dihentikan sehingga isu berkenaan diselesaikan bersama syarikat penerbangan dan ICAO.

“Pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.

“Pemegang PMA yang terlibat juga akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport,” katanya.

Beliau berkata, Imigresen turut akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas di luar negara.

Katanya, Imigresen komited memastikan pelaksanaan PMA sentiasa ditambah baik bagi memberikan kemudahan kepada rakyat selain memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.-BH Online