Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang melaksanakan proses pendaftaran dan saringan rakyat Myanmar bagi mengenal pasti mereka yang benar-benar berstatus pelarian sebelum sebarang proses penghantaran pulang ke negara asal dilaksanakan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu susulan komitmen kerajaan Myanmar untuk menerima semula kira-kira 5,000 rakyatnya yang berstatus pelarian dari Malaysia.

Katanya, proses pendaftaran itu sudah dimulakan Jabatan Imigresen Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya membabitkan rakyat Myanmar yang berada di depot imigresen.

“Di dalam depot imigresen, jumlah rakyat Myanmar yang sudah kita kenal pasti adalah lebih 4,000 dan saya tidak mengatakan mereka ini pelarian.

“Untuk mengetahui sama ada mereka pelarian atau rakyat Myanmar yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan sebagainya, kita kena tapis dan kita sudah arahkan Jabatan Imigresen dan polis untuk memulakan pendaftaran ini,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Jelajah Star City di Dataran Masjid Putra, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, proses berkenaan sedang dimulakan dan pihak terbabit akan melaporkan perkembangan kepada beliau dari semasa ke semasa.

Katanya, sekiranya hasil saringan mengesahkan seseorang itu mempunyai status pelarian, mereka akan menjadi antara kumpulan awal yang akan diuruskan untuk proses penghantaran pulang.

“Urusan penghantaran pulang akan dikendalikan kerajaan, manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tumpuan kepada proses pendaftaran dan pengenalpastian. Yang itu akan dikendalikan oleh Putrajaya. Saya tidak boleh cakap lebih daripada itu. Urusan kami adalah menjalankan pendaftaran,” katanya.

Saifuddin berkata, proses berkenaan turut perlu diperluaskan kepada rakyat Myanmar yang berada di luar depot imigresen dan menjangkakan data awal hasil proses pendaftaran itu dapat diperoleh pada suku keempat tahun ini.

“Kita kena ada mekanisme untuk ‘reach out’ kepada mereka dan menghebahkan bahawa Kerajaan Malaysia sedang melakukan pendaftaran dan minta mereka tampil ke hadapan untuk proses pendaftaran. Sekarang sudah bulan Ogos. Berapa jumlahnya, saya akan kongsikan dengan media nanti,” katanya.

Saifuddin berkata pelarian Myanmar di Malaysia bukan hanya terdiri daripada etnik Rohingya, sebaliknya membabitkan kira-kira 19 etnik.

Katanya, tumpuan berlebihan terhadap isu Rohingya menyebabkan masyarakat seolah-olah melihat isu pelarian Myanmar hanya berkisar kepada satu etnik berkenaan.

“Rohingya adalah satu daripadanya. Ada etnik Chin, Arakanese dan macam-macam lagi.

Jadi lebih baik kita kekalkan istilah pelarian Myanmar kerana tumpuan hanya kepada Rohingya kadang-kadang menimbulkan gambaran seolah-olah hanya mereka yang ada,” katanya.

Saifuddin berkata, Malaysia turut menempatkan pelarian dari beberapa negara lain seperti Afghanistan, Iraq serta Jordan dan perkembangan itu perlu difahami dalam konteks lebih luas kerana isu pelarian bukan hanya membabitkan satu negara atau etnik.

Mengenai perkembangan di Bangladesh pula, Saifuddin berkata kerajaan Myanmar turut bersetuju menerima semula pelarian dari Cox’s Bazar, yang kini menempatkan kira-kira 1.2 juta pelarian Rohingya.

Katanya, perkembangan geopolitik dunia menyebabkan peluang penempatan pelarian ke negara ketiga semakin terhad, termasuk ke Amerika Syarikat.

“Penempatan ke negara ketiga bukan tidak boleh, tetapi jumlahnya sangat kecil sekarang, terutama kerana perubahan geopolitik. Jadi, kalau kita fikir pelarian di Malaysia, selepas diproses UNHCR, untuk ditempatkan ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, peluang itu sangat tipis,” katanya. -BH Online