Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menziarahi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.

Perdana Menteri berkata, keadaan kesihatan Fadillah semakin baik, namun masih memerlukan rehat secukupnya atas nasihat pasukan perubatan.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan beliau semakin baik, namun masih memerlukan rehat yang secukupnya atas nasihat pasukan perubatan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Pada kunjungan sama, pasangan itu turut menziarahi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut menerima rawatan di IJN dan masih memerlukan pemantauan lanjut.

Anwar berkata, beliau dan Wan Azizah mendoakan supaya kedua-duanya dikurniakan kesembuhan segera, dipermudahkan segala urusan rawatan serta terus diberikan keafiatan dan kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara.

Sebelum ini, Fadillah dilaporkan akan menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) atas nasihat perubatan. 

Menurut Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) , Datuk Misiah Taib, keadaan kesihatan Fadillah dilaporkan stabil, namun dinasihatkan supaya berehat sepenuhnya bagi memastikan proses rawatan dan pemulihan berjalan lancar.

Sementara itu, Ismai Sabri dimasukkan ke IJN bagi mendapatkan rawatan serta menjalani prosedur berkait masalah degupan jantung tidak sekata (arrhythmia). -BH Online