KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini menyaksikan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengendalikan perkhidmatan pengangkutan awam 24 jam bermula malam 30 Ogos hingga menjelang 31 Ogos, kata jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
“Prasarana sudah komited menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam 24 jam bersempena Hari Kebangsaan 2026.
“Kita berharap ini bukan sahaja dapat membantu lebih ramai orang datang ke Putrajaya, malah memudahkan perjalanan pulang selepas program selesai,” katanya.
Fahmi yang mengulas permintaan berterusan orang ramai bagi kemudahan perhubungan lebih baik ke Putrajaya sepanjang sambutan tahunan itu, ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@Petronas di Petronas NPE Pantai Dalam di sini.
Berhubung sambutan Hari Malaysia, Fahmi mengesahkan acara itu akan diadakan di Pusat Kebudayaan Borneo di Kuching, Sarawak — lokasi yang disifatkan beliau setanding dengan skala Pusat Konvensyen PICCA Pulau Pinang yang menjadi tuan rumah sambutan tahun lalu.
Beliau berkata, mesyuarat perancangan seterusnya dijadualkan pada 24 Ogos ini, sambil menambah persiapan berjalan lancar susulan mesyuarat jawatankuasa peringkat awal minggu lalu.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan pengedaran Jalur Gemilang tahun ini menampilkan reka bentuk berasaskan magnet yang ditambah baik bagi membolehkan ia dipasang dan ditanggalkan pada kenderaan, sekali gus memenuhi maklum balas tahun-tahun sebelum ini di mana pengguna kenderaan lebih menyukai pilihan yang tidak kekal.
“Berdasarkan maklum balas sebelum ini, mereka lebih gemar menggunakan magnet berbanding pelekat yang lekat terus pada kenderaan. Jadi, ini adalah penambahbaikan yang kita buat tahun ini,” katanya.
Fahmi turut menggesa RTM, stesen radio dan penyiar televisyen supaya memainkan lagu tema rasmi bulan kebangsaan — ‘Aku Berjanji’ oleh Faizal Tahir — dengan lebih kerap. -BH Online
