Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA : Melaka menyasarkan lebih banyak syarikat tempatan menembusi pasaran modal selepas dua anak syarikat Kerajaan Negeri dipersiapkan untuk melangkah ke Bursa Malaysia dengan sasaran penyenaraian seawal 2028 dan 2029.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata usaha itu bukan hanya tertumpu kepada syarikat milik kerajaan negeri, sebaliknya membuka peluang kepada lebih banyak syarikat dari negeri ini untuk berkembang ke tahap lebih tinggi.

Katanya, bagi melangkah lebih jauh, syarikat memerlukan bukan sahaja peluang, tetapi turut akses kepada pembiayaan, pasaran, jaringan perniagaan serta bimbingan yang tepat.

“Usaha ini pastinya tidak terhenti kepada syarikat milik kerajaan negeri sahaja, sebaliknya kita mahu lebih banyak syarikat di Melaka turut melangkah ke pentas lebih besar.

“Ini sekali gus menembusi pasaran lebih luas dan membuktikan bahawa syarikat dari negeri ini juga mampu berdiri sama tinggi dengan pemain terbaik di peringkat nasional,” katanya berucap pada Majlis Perasmian RHB-Bursa Malaysia Retail Corporate Day di sini.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, Melaka ICT Holdings Sdn Bhd kini melalui proses penilaian kesiapsiagaan syarikat serta penstrukturan semula organisasi sebagai persediaan ke arah tawaran awam permulaan (IPO) yang disasarkan seawal suku pertama 2028.

Manakala, katanya Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB) sedang melalui proses penstrukturan semula syarikat serta usaha wajar dengan sasaran penyenaraian seawal suku pertama 2029.

Menurutnya, sokongan pembiayaan turut memainkan peranan penting dalam membantu syarikat tempatan memperkukuh operasi serta mengembangkan perniagaan.

“Setakat ini sebanyak RM485 juta pembiayaan disalurkan oleh RHB kepada syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Melaka bagi menyokong operasi serta perkembangan perniagaan mereka,” katanya. 

Menurutnya, Melaka juga mempunyai rekod memberangsangkan dalam pasaran modal apabila sebanyak 34 syarikat dari negeri ini telah tersenarai di Bursa Malaysia. -BH Online