Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SARIKEI: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) yang bersamaan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri.

Beliau berkata, ia susulan prestasi hasil Sarawak bagi enam bulan pertama tahun ini agak memberangsangkan, malah antara tertinggi pernah dicatatkan bagi tempoh sama.

“Mengikut laporan yang saya terima bagi enam bulan pertama, ia agak memberangsangkan. Saya tidak dapat mendedahkan angkanya sekarang, tunggulah ketika pembentangan bajet nanti.

“Namun hari ini, saya berani mengumumkan bonus dua bulan kepada penjawat awam dan pihak lain yang bekerja kuat, kerana saya sudah melihat semua angka berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, angka sebenar kutipan hasil dan unjuran pendapatan negeri akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan Sarawak akan datang.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan memberikan tumpuan kepada pembangunan Sarikei hingga 2030 melalui sektor pelancongan, ekonomi hijau dan pertanian bernilai tinggi.

Katanya, kawasan hutan paya bakau yang luas di Sarikei berpotensi menjadi aset penting dalam ekonomi karbon global, selain pembangunan infrastruktur termasuk usaha memanjangkan landasan Lapangan Terbang Tanjung Manis bagi membolehkan pesawat ATR beroperasi.

Beliau berkata, ketibaan pesawat ATR baharu, AirBorneo yang dikonfigurasikan untuk penerbangan domestik, akan membantu memperkukuh jaringan udara dan merancakkan sektor pelancongan di kawasan berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari turut mengumumkan penambahan 10 mesin dialisis di Hospital Sarikei berikutan peningkatan kes diabetes di daerah ini. -BH Online