BAGAN SERAI: Sektor pertanian Perak perlu diremajakan dengan lebih bersungguh-sungguh bagi memastikan kelangsungan industri itu memandangkan hanya 23.4 peratus daripada pemegang pertanian individu di negeri berkenaan terdiri daripada golongan berusia 15 hingga 45 tahun.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata berdasarkan Banci Pertanian 2024, daripada sejumlah 104,878 pegangan pertanian individu di Perak, sebanyak 46.6 peratus dimiliki golongan berusia 60 tahun ke atas manakala 30 peratus lagi berusia lingkungan 46 hingga 59 tahun.
“Keadaan ini menunjukkan usaha menarik golongan muda ke dalam sektor pertanian perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan tidak sekadar bergantung kepada kempen atau slogan.
“Golongan muda tidak boleh dipujuk memasuki pertanian hanya dengan slogan… mereka perlu melihat laluan perniagaan yang jelas, akses kepada tanah dan pembiayaan, bimbingan teknikal, penggunaan teknologi dan pasaran yang mampu memberikan pulangan munasabah,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun pada perasmian Peladang Agro Karnival Perak (PAKAR) 2026 di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini hari ini.
Saarani berkata isu peremajaan sektor pertanian perlu diberi perhatian serius kerana ia bukan sekadar kegiatan pengeluaran makanan malah merupakan sektor ekonomi penting yang menyediakan pekerjaan, menggerakkan perdagangan setempat dan menyokong industri pemprosesan.
Beliau berkata sektor pertanian menyumbang sebanyak 13.6 peratus kepada ekonomi Perak pada 2025 dan berkembang 1.2 peratus, didorong peningkatan dalam subsektor tanaman serta ternakan.
“Banci Pertanian 2024 turut merekodkan 107,474 pegangan pertanian di Perak dengan nilai jualan hasil pertanian hampir RM16 bilion pada 2023… angka-angka ini membuktikan bahawa pertanian bukan kegiatan sampingan,” katanya.
Dalam pada itu, Saarani berkata kerajaan negeri akan terus memberikan tumpuan kepada peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi, pembangunan prasarana, pengukuhan rantaian nilai, industri hiliran, pemasaran dan pembangunan modal insan dalam usaha memperkukuh sektor pertanian.
Beliau berkata Pertubuhan Peladang Negeri Perak dan Lembaga Pertubuhan Peladang juga perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar membekalkan input atau mengurus program sebaliknya menjadi peneraju dalam pengumpulan hasil, perancangan pengeluaran berasaskan permintaan, pemprosesan, pengedaran, penjenamaan serta pemasaran.
Saarani juga berkata penganjuran PAKAR 2026 pada 7 dan 8 Ogos di Bagan Serai, selain bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-54 Hari Peladang, perlu menjadi platform menghubungkan produk, teknologi dan usahawan agro Perak ke pasaran lebih luas menerusi inisiatif Road to MAHA 2026.
Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang di Selangor dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.– BERNAMA
