Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kemboja komited terus memperkukuhkan hubungan dua hala, terutama dalam bidang pertahanan dan keselamatan, sekali gus menyumbang kepada pembinaan daya tahan kolektif ASEAN.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata komitmen itu dizahirkan ketika beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja, Samdech Thipadei Hun Manet, di Peace Palace, Phnom Penh, hari ini.

Beliau berkata, antara perkara utama dibincangkan ialah usaha memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan Malaysia-Kemboja, yang bakal menjadi kerangka penting dalam memperluas dan memperkukuhkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

“Malaysia dan Kemboja turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan pemusatan ASEAN, dialog serta mekanisme serantau dalam menangani cabaran keselamatan, termasuk usaha berterusan ke arah keamanan dan kestabilan di sempadan Kemboja-Thailand,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia turut menzahirkan sokongan berterusan terhadap mekanisme Pasukan Pemerhati ASEAN AOT), selain penyelesaian secara aman menerusi dialog dan rundingan.

Katanya, kedua-dua pihak turut membincangkan kepentingan memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan, sebagai langkah penting bagi memastikan keamanan, kestabilan dan ketertiban berasaskan peraturan terus terpelihara.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia dan Kemboja komited memperkukuhkan kerjasama pertahanan dalam bidang baharu termasuk latihan peperangan hutan, industri pertahanan, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dron.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Jeneral Tea Seiha, bagi bertukar-tukar pandangan mengenai landskap keselamatan serantau yang semakin kompleks.

Dalam hantaran berasingan berhubung pertemuan itu, beliau menyatakan harapan agar gencatan senjata antara Kemboja dengan Thailand dapat terus dikekalkan.

“Walaupun Malaysia bukan lagi Pengerusi ASEAN pada tahun ini, komitmen negara untuk terus menyokong keamanan dan kestabilan rantau ini kekal tidak berubah.

“Saya juga mengalu-alukan perkembangan MoU Kerjasama Pertahanan Malaysia-Kemboja yang kini berada pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan, dan berharap MoU ini dapat dimeterai sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Filipina kelak,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, beliau yakin kerjasama yang terus diperkukuh itu akan mengeratkan lagi hubungan Malaysia-Kemboja menjelang ulang tahun ke-70 jalinan diplomatik kedua-dua negara pada 2027.

Sebelum ke Kemboja, Mohamed Khaled mengetuai delegasi Malaysia mengadakan lawatan kerja rasmi ke Vietnam pada 5 dan 6 Ogos lalu, termasuk kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri negara itu, Le Minh Hung, serta pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Vietnam, Jeneral Phan Van Giang.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, lawatan rasmi selama dua hari ke Kemboja yang bermula semalam itu mencerminkan komitmen Malaysia memperkukuhkan hubungan pertahanan dengan negara anggota ASEAN, selaras aspirasi Kertas Putih Pertahanan.

Menurut kenyataan itu, siri lawatan kerja Mohamed Khaled ke Vietnam dan Kemboja adalah manifestasi pelaksanaan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara, iaitu Perkongsian Berwibawa, selain memperkukuhkan diplomasi pertahanan Malaysia pada peringkat serantau.

Turut mengiringi delegasi Malaysia ialah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud. – BH Online