KUALA LUMPUR: Pelajar Kolej Vokasional (KV) Setapak menerima cabaran besar apabila diminta menginovasi penggunaan teknologi dron bagi memperkukuhkan aspek keselamatan di persekitaran sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pelajar terbabit diberi tempoh sebulan untuk meneliti serta mengenal pasti kaedah terbaik bagi mengaplikasikan teknologi berkenaan sebelum membentangkan hasil idea itu kepadanya.
“Dalam masa sebulan, saya mahu anak-anak membentangkan kepada saya bagaimana teknologi dron boleh digunakan untuk membantu menjaga keselamatan sekolah,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, malam tadi.
Fadhlina memberikan cadangan itu ketika menghadiri program kolaborasi antara Seoul Metropolitan Office of Education dengan KV Setapak yang turut dihadiri Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-bae.
Beliau berkata, program itu adalah platform berharga bagi pelajar meneroka bidang robotik dan teknologi dron menerusi perkongsian kepakaran serta pengalaman luas dari Korea Selatan.
Menceritakan pengalamannya menyaksikan demonstrasi pelajar, Fadhlina melahirkan perasaan bangga melihat kesungguhan mereka mengendalikan aset teknologi itu meskipun berdepan pelbagai percubaan.
“Hari ini (semalam), saya melihat anak-anak kita menerbangkan dron, mengendalikan robot dan bermain dengan teknologi.
“Ada yang mencuba, ada yang tersilap. Kemudian cuba lagi, di situlah sebenarnya pembelajaran berlaku,” katanya.
Fadhlina berkata, teknologi robotik, dron dan kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sekadar cerita mengenai masa hadapan, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada perubahan dalam dunia pekerjaan kini.
Sehubungan itu, beliau berkata, sistem pendidikan harus bergerak seiring perkembangan teknologi semasa.
“Sebab itu, saya beri mereka cabaran tadi. Saya mahu mereka bukan sekadar tahu menerbangkan dron tetapi mula berfikir bagaimana teknologi yang dipelajari dapat diguna untuk menyelesaikan masalah sebenar di sekeliling mereka,” katanya. -BH Online
