Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Semua pengendali platform media sosial diberi masa beberapa bulan untuk meneliti serta mengemas kini sistem pengoperasian masing-masing bagi mematuhi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Mitigasi Risiko (RMC).

Tanpa menyatakan tempoh tetap, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata kesemua pengendali platform media sosial diberi tempoh itu kerana dua kod yang diterbitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkenaan penting bagi memastikan ruang digital tidak menjadi lubuk pelbagai jenayah termasuk penipuan dalam talian (scam), judi dalam talian dan buli siber.

Beliau menegaskan, sebaik kedua-dua kod berkenaan beroperasi sepenuhnya, pengendali platform yang gagal mematuhinya boleh berdepan tindakan mahkamah berserta denda pada kadar yang sangat tinggi.

“Pihak MCMC kini berada di Singapura untuk mengadakan perbincangan bersama pengendali platform media sosial, termasuk YouTube, bagi menggalakkan penerimaan pakai CPC dan RMC.

“Sebelum ini, mereka meminta sedikit masa atas faktor pengoperasian dan untuk memahami kod terbabit secara menyeluruh. Justeru, kita berikan tempoh penyesuaian beberapa bulan untuk mereka melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Internet Selamat 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.

Fahmi berkata, kerajaan turut mengetatkan mekanisme pembukaan akaun media sosial bagi individu berumur bawah 16 tahun melalui keperluan pengesahan umur menerusi sistem eKYC (Electronic Know Your Customer).

Dalam pada itu, beliau membangkitkan isu kritikal berhubung tindakan sesetengah platform, seperti TikTok, yang mengurangkan tenaga moderator manusia dan menyerahkan tugas kawal selia kandungan (content moderation) sepenuhnya kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau menjelaskan, AI mempunyai keterbatasan untuk memahami nuansa bahasa tempatan dan konteks ayat secara mendalam, khususnya dalam bahasa komuniti tertentu seperti bahasa Tamil, sekali gus menyebabkan insiden buli siber terus berleluasa.

“Saya sudah menyampaikan pandangan kepada pihak TikTok bahawa isu kawal selia bahasa tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada AI. AI tidak mampu memahami nuansa penggunaan ayat tertentu, terutamanya yang bertujuan membuli atau menjadikan orang lain mangsa.

“Malangnya, pihak TikTok mengambil tindakan mengurangkan moderator manusia dan lebih memberi tumpuan kepada AI,” katanya.

Mengulas mengenai Kempen Internet Selamat, Fahmi menekankan peranan penting ibu bapa dan PIBG dalam mengawasi penggunaan peranti serta akaun media sosial anak-anak.

Beliau mengingatkan ibu bapa supaya mengaktifkan kawalan ibu bapa (parental control) pada peranti dan mengelakkan anak-anak di bawah umur 16 tahun daripada membuka akaun media sosial persendirian tanpa pengawasan, bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran penjenayah siber. -BH Online