KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura akan terus memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga kerja, termasuk memberi perhatian terhadap aspek kebajikan dan perlindungan pekerja gig dalam mendepani perubahan landskap pekerjaan yang semakin dinamik.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Pemangku Menteri Tenaga Manusia Singapura Jasmin Lau sempena lawatan kerja rasminya ke republik itu hari ini.
Beliau berkata kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa pasaran tenaga kerja serta cabaran yang perlu dihadapi Malaysia dan Singapura dalam mempersiapkan pekerja bagi memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.
“Malaysia dan Singapura berdepan dengan perubahan landskap pekerjaan yang pantas. Justeru, kita perlu melihat bagaimana dasar dan perlindungan pekerja dapat terus berkembang seiring dengan perubahan bentuk pekerjaan serta keperluan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perbincangan turut menyentuh pembangunan bakat, peningkatan kemahiran dan keperluan menyediakan tenaga kerja yang lebih bersedia menghadapi perkembangan teknologi serta kecerdasan buatan (AI).
Menurut Ramanan, perkongsian pengalaman dan amalan terbaik antara kedua-dua negara penting dalam usaha mewujudkan ekosistem pekerjaan yang progresif dan inklusif tanpa mengetepikan kepentingan serta kebajikan pekerja.
Beliau berkata Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan tenaga kerja yang unik dan rapat, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk kedua-dua negara meneroka bentuk kerjasama baharu dalam pembangunan bakat dan kemahiran masa hadapan.
“Hubungan Malaysia dan Singapura bukan sekadar hubungan antara dua negara berjiran. Mobiliti tenaga kerja serta hubungan ekonomi dan antara rakyat kedua-dua negara juga sangat rapat.
“Sebab itu kita melihat terdapat banyak ruang untuk memperkukuh kerjasama, berkongsi kepakaran dan mencari penyelesaian bersama terhadap cabaran tenaga kerja yang bakal kita hadapi pada masa hadapan,” katanya.
Pertemuan itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Program Perancangan Kewangan Kementerian Tenaga Manusia Singapura Pung Wan Qing, Pengarah Standard Pekerjaan dan Tempat Kerja Inklusif, Gan Su Yi, Pengarah Bahagian Perancangan Korporat Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) Kevin Lee, serta Timbalan Pengarah Strategi dan Pembangunan Ekosistem Kementerian Tenaga Manusia Singapura Lock Hong Quan.
Terdahulu, Ramanan mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Grab di Singapura sebagai sebahagian daripada rangka lawatan kerja rasminya.– BERNAMA
