TANAH MERAH: Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab Tanah Merah dijangka dimulakan sebelum April tahun depan.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu sudah diluluskan di peringkat kementerian selain peruntukan juga sudah tersedia.
“Hari ini saya melawat tapak MRSM Ulul Albab yang turut disertai Ketua Jajahan Tanah Merah. Saya sudah mengatakan sebelum tugas saya selesai sebagai Pengerusi MARA, saya mahu pastikan MRSM Ulul Albab dibina.
“Saya mengarahkan dan memberi tempoh dua minggu kepada pengurusan MARA supaya menyelesaikan segala dokumen berkaitan untuk dihantar kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan serta Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah sebelum mesyuarat diadakan pada September ini.
“Ketua Jajahan memaklumkan jika projek ini diluluskan September ini, tender secara terbuka akan dibuat pada Disember tahun ini, manakala kerja-kerja pembinaan dijangka akan dimulakan sebelum April tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, MRSM pertama yang berorientasikan Ulul Albab di Kelantan itu mampu menampung 750 pelajar.
“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mahu MRSM Ulul Albab ini direalisasikan dan saya akan pastikan ia akan dilaksanakan tahun depan,” katanya. -BH Online

