KUALA LUMPUR: Malaysia memperhebat usaha memperkukuh kedudukannya sebagai hab syarikat pemula niaga bertaraf global dengan menyasarkan berada dalam kelompok 20 ekosistem syarikat pemula niaga terbaik dunia menjelang 2030 menerusi penganjuran Persidangan KL20 yang diberi nafas baharu dan pendekatan lebih strategik.
Berdasarkan Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Niaga 2026, Kuala Lumpur berada dalam kelompok 31 hingga 40 ekosistem syarikat pemula niaga yang sedang membangun di dunia, dengan nilai ekosistem dianggarkan sebanyak AS$9 bilion bagi tempoh separuh kedua tahun 2023 hingga 2025.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata penganjuran Persidangan KL20 2026 yang memasuki edisi kedua dirangka bagi meneruskan momentum yang dibina sejak 2024, selain memperkukuh ekosistem negara untuk menyokong pertumbuhan syarikat pemula niaga secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata, tumpuan KL20 yang akan berlangsung pada September hingga November 2026 depan turut diperluaskan daripada empat kepada lapan fokus utama dengan penekanan terhadap usaha mewujudkan nilai yang lebih tinggi, termasuk meneroka potensi ekonomi digital dan industri permainan (gaming) sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negara.
“Hasrat kita memang jelas iaitu meletakkan Malaysia berada dalam kalangan 20 negara terbaik dunia dari segi aktiviti syarikat pemula niaga.
“Sebab itu bagi KL20 2026, kita mengambil beberapa pendekatan yang lebih strategik supaya hasrat ini dapat terus membina momentum ke arah sasaran berkenaan,” katanya kepada media selepas majlis prapelancaran Persidangan KL20 di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, bagi memastikan pendekatan lebih bersasar, KL20 2026 akan berlangsung di tiga lokasi iaitu Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur, dengan setiap lokasi membawa fokus pembangunan yang berbeza mengikut kekuatan ekonomi masing-masing.
Beliau berkata, Pulau Pinang akan memberi penekanan kepada industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E) bagi menghubungkan syarikat pemula niaga dengan kekuatan industri sedia ada, manakala Johor pula akan memfokuskan kepada ekonomi kreatif yang dipacu pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Katanya, semua hasil dan kerjasama yang dibentuk menerusi dua lokasi berkenaan kemudiannya akan dihimpunkan di Kuala Lumpur sebagai pusat integrasi bagi memperkukuh keseluruhan ekosistem syarikat pemula niaga negara.
Mengulas kedudukan semasa Malaysia, beliau berkata, negara kini berada sekitar kelompok 31 dalam kalangan negara yang memberi tumpuan kepada pembangunan syarikat pemula niaga, justeru usaha memperkukuh ekosistem menjadi cabaran utama yang perlu diatasi bagi mencapai sasaran ditetapkan menjelang 2030.
Beliau berkata, antara cabaran utama ialah memastikan keseluruhan ekosistem syarikat pemula niaga berfungsi secara lebih lancar kerana ia membabitkan pelbagai pihak termasuk pelabur, penyedia teknologi, agensi kerajaan serta rangka kerja dasar yang kondusif untuk menyokong pertumbuhan syarikat berkenaan.
Katanya, kerajaan sedang meneliti keberkesanan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan sejak KL20 pada 2024, termasuk usaha memperkemaskan penyelarasan antara agensi serta menambah baik platform ‘tetingkap tunggal’ bagi mengurangkan kerenah birokrasi yang dihadapi syarikat pemula niaga.
“Kita bukan sekadar mahu meletakkan angka yang besar, sebaliknya mahu memastikan naratif yang dibina benar-benar memberi tumpuan kepada usaha membangunkan ekosistem dan persekitaran yang kondusif untuk syarikat pemula niaga berkembang,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, Malaysia mempunyai beberapa kelebihan yang boleh dimanfaatkan termasuk prestasi ekonomi yang memberangsangkan, kumpulan bakat tempatan yang berpotensi diperkasakan serta pendekatan kerjasama dengan negara lain bagi memperkukuh ekosistem syarikat pemula niaga di peringkat serantau dan global. -BH Online

